Rabu, 2 Februari 2022 | 6:16pm

Unit berkuda di sempadan Kelantan-Thai Mac nanti

PASIR MAS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan tinjauan lokasi di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand sebagai persiapan untuk menempatkan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dijangka bermula pada Mac nanti.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali, berkata tinjauan dilakukan terlebih dahulu bagi mengenal pasti bentuk muka bumi, pangkalan haram serta kawasan tumpuan penyeludup selain memastikan lokasi sesuai untuk menempatkan kesemua kuda yang bakal ditugaskan nanti.

Polis sedang melakukan tinjauan lokasi di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand sebagai persiapan untuk menempatkan Unit Berkuda FRU yang dijangka bermula pada Mac nanti. - Foto hiasan
Polis sedang melakukan tinjauan lokasi di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand sebagai persiapan untuk menempatkan Unit Berkuda FRU yang dijangka bermula pada Mac nanti. - Foto hiasan

"Kita yakin dengan adanya bantuan daripada Unit Berkuda FRU ini mampu meningkatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok serta keberkesanan dalam menangani kes penyeludupan yang sering berlaku.

"Bilangan kuda serta anggota yang terbabit dalam unit itu akan diputuskan sebaik tinjauan selesai dijalankan.

"Kita menempatkan sembilan kuda di Kedah dan Perlis sebelum ini, jadi di Kelantan bergantung kepada luas kawasan yang terbabit.

"Daripada tenaga anggota dan kemahiran sudah sedia ada, yang mana mereka bersiap siaga untuk turun padang membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) serta agensi keselamatan lain dalam menjaga sempadan negara," katanya selepas menghadiri Program Tangan Bersalaman di Dewan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

Program Tangan Bersalaman adalah inisiatif pihak polis dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan selain meringankan beban mangsa yang ditimpa bencana alam.

Dalam perkembangan lain, Hazani turut memberi amaran kepada golongan tidak bertanggungjawab yang aktif sebagai tekong membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas akan diambil jika masih berdegil menjalankan kegiatan berkenaan.

Hazani (tiga kiri) diiringi oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Abdul Rahman Hussin bersama keluarga pada Program Tangan Bersalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Berita Harian X