PORT DICKSON: Seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun, menyerah diri dan mengaku membuat aksi 'Superman' di Lebuhraya Seremban-Port Dickson, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata pada 29 Januari lalu, polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima satu aduan awam berhubung rakaman video menunjukkan aksi
berbahaya sekumpulan remaja bermotosikal.
"Seorang penunggang motosikal membuat aksi 'Superman' dengan meletakkan kaki di atas motor.
"Polis dapat mengesan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss 120, yang membuat aksi berbahaya itu dan pagi tadi (semalam), remaja lelaki itu, yang bersekolah di Cheras menyerah diri di Balai Trafik IPD Port Dickson .
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Aidi Sham berkata, tindakan remaja itu bukan sahaja membahayakan dirinya, malah pengguna jalan raya yang lain.