Isnin, 31 Januari 2022 | 4:46pm
- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Kawal harga ubat boleh jejas 2,600 klinik swasta, 136,000 petugas - CodeBlue

PUTRAJAYA: Analisis berhubung cadangan kawalan harga ubat-ubatan di Malaysia mendapati dasar baharu itu jika dilaksanakan, boleh menyebabkan satu pertiga klinik swasta menghentikan operasi dan menjejaskan sehingga 136,000 petugas perkhidmatan penjagaan kesihatan sektor berkenaan.

Berdasarkan analisis kos-manfaat cadangan itu yang diperoleh laman web kesihatan CodeBlue, peraturan baharu itu boleh menyebabkan 33 peratus atau 2,600 klinik swasta menutup operasi kerana fasiliti berkenaan banyak bergantung kepada hasil preskripsi ubat-ubatan untuk menjamin operasi kekal menguntungkan.

"Penetapan harga siling ubat-ubatan dijangka menyaksikan pesakit yang mendapatkan khidmat di fasiliti kesihatan swasta boleh menjimatkan antara 40 hingga 50 peratus kos berikutan pembelian ubat-ubatan menyumbang kos yang ketara," menurut laman web berkenaan, hari ini.

Menurut CodeBlue, penemuan itu diperolehnya daripada dokumen rundingan awam 'Penilaian Komprehensif Kos-Manfaat Dasar Penentuan Harga (PenemuanAwal)' yang dikeluarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selepas rundingan dengan pihak industri swasta dalam tempoh 29 November hingga 6 Disember tahun lalu.

Fi rundingan semasa dikenakan pengamal perubatan am swasta (GP) dan klinik gigi di negara ini, masing-masing antara RM10 hingga RM35 dan RM25 hingga RM250 di bawah Jadual Ketujuh Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Di bawah Jadual ke-13 pula, fi rundingan pakar hospital swasta adalah antara RM80 hingga RM235.

CodeBlue melaporkan, kawalan fi perundingan GP, doktor gigi dan yuran profesional pakar-pakar perubatan diluluskan pada 2006, namun 13 tahun kemudian, Kabinet di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memutuskan memansuhkannya pada Disember 2019.

Kumpulan GP sudah lama mendesak kadar fi khidmat rundingan mereka dinilai semula sejajar kadar diperoleh GP berpangkalan di hospital yang menerima kenaikan pada 2013 kepada antara RM30 hingga RM125.

"Jika dasar berkaitan harga siling baharu ubat-ubatan dilaksanakan, ia akan tambah menjejaskan mereka dan boleh memaksa lebih ramai GP klinik menghentikan operasi, dengan jangkaan pengurangan daripada 8,000 klinik kepada kira-kira 5,400.

"Ia juga sekali gus akan mengurangkan akses penjagaan kesihatan untuk pesakit, terutama di kawasan kurang membangun yang menyediakan khidmat bagi golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40)," lapor CodeBlue.

Menurut laman web itu, analisis kos-manfaat diperoleh juga mendapati dasar dicadangkan itu boleh menyebabkan penurunan antara 22 hingga 27 peratus hasil keseluruhan hospital, memaksa sesetengah daripada fasiliti itu mengurangkan pelaburan dan mungkin menimbang menutup sayap pesakit luar untuk memberi tumpuan kepada khidmat bukan berasaskan ubat-ubatan dan pesakit di wad.

"Kawalan harga ubat-ubatan dianggar boleh memberi penjimatan antara 20 hingga 25 peratus kepada pesakit di hospital-hospital swasta. Hampir semua hospital swasta di Malaysia dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," menurut CodeBlue.

Laman web berkenaan melaporkan, sektor penjagaan kesihatan swasta dijangka menjadi enjin pertumbuhan sosio-ekonomi untuk Malaysia dan berdasarkan situasi semasa, ia boleh menjana sehingga RM1 trilion bagi tempoh 15 tahun akan datang, dari 2022 hingga 2037.

"Ia juga diunjur mencipta kira-kira 100,000 pekerjaan baharu, menyediakan khidmat kepada 13 juta pesakit setiap tahun dan membawa masuk nilai pelaburan terancang sebanyak RM44 bilion dalam tempoh berkenaan. Sektor berkenaan ketika ini menggajikan kira-kira 133,000 petugas yang dijangka bertambah sembilan peratus di antara 2021 hingga 2037," lapornya.

Berdasarkan analisis kos-manfaat dasar kawalan harga ubat-ubatan, CodeBlue melaporkan, petugas-petugas dalam sektor penjagaan kesihatan swasta boleh kehilangan RM31 bilion keseluruhan dalam bentuk gaji berdasarkan nilai bersih semasa dalam tempoh 15 tahun akan datang untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaan.

Analisis itu juga, katanya, menjangkakan kawalan harga ubat-ubatan pada 2037 akan menyebabkan 91,000 hingga 136,000 petugas atau 30 hingga 40 peratus daripada 227,000 petugas sektor penjagaan kesihatan swasta ketika itu berdepan risiko dipotong dan dibekukenaikan gaji atau diberhentikan dengan jumlah kerugian ekonomi kira-kira RM4.5 bilion hingga RM6.1 bilion pada tahun berkenaan.

"Impak yang dikaji dalam analisis berkenaan belum mengambil kira kesan hiliran daripada dasar baharu itu kepada industri-industri yang bergantung kepada sektor penjagaan kesihatan swasta seperti pemilik hartanah komersial dan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan bangunan," lapornya lagi.

CodeBlue melaporkan, Penilaian Kos-Manfaat Komprehensif (CBA 2.0) terhadap dasar penentuan harga ubat-ubatan adalah analisis kedua kos-manfaat ke atas cadangan kawalan harga ubat-ubatan. Ia merangkumi kira-kira 5,000 produk yang skopnya diperluaskan melangkau analisis kos-manfaat pertama.

Katanya, MPC menyifatkan penilaian terbaharu itu sebagai 'penilaian impak yang lebih holistik' terhadap cadangan kawalan harga ubat-ubatan melalui 'pandangan berdasarkan data'.

Menurut laman web itu lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini dilapor mahu mengawal selia harga ubat-ubatan dalam sektor penjagaan kesihatan swasta dengan menggunakan rujukan luaran mekanisme penentuan harga bagi menetapkan harga siling borong dan kemudian harga siling runcit terhadap ubat-ubatan di hospital swasta, klinik dan farmasi.

Rujukan luaran penentuan harga ditentukan oleh perbezaan harga ubat-ubatan di negara-negara Komanwel, negara-negara lain serantau atau negara yang rakyatnya mempunyai tahap pendapatan sama seperti di Malaysia.

CodeBlue menjelaskan, MPC berperanan sebagai badan peneraju mewakili kerajaan yang menyelaras dan memudahcara kerjasama awam-swasta dalam melaksanakan CBA di antara agensi-agensi kerajaan, ahli-ahli ekonomi dan kumpulan-kumpulan mewakili pengeluar produk farmasi tempatan serta asing, syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa, hospital-hospital swasta dan doktor perubatan.

Lapornya, kumpulan kerja CBA 2.0 mengandungi lima wakil daripada industri penjagaan kesihatan swasta, Persatuan Farmasi Malaysia (PhAMA), Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta Penyelidikan dan Pengilang Farmaseutikal Amerika (PhRMA).

Agensi kerajaan pula, menurut CodeBlue, termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MoF), Bank Negara Malaysia (BNM), Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan MPC sendiri.

Laman web itu melaporkan, analisis kos-manfaat berkenaan dilaksanakan oleh syarikat data sains bebas antarabangsa, namun tidak dinamakan oleh MPC.

Berita Harian X