X
Isnin, 31 Januari 2022 | 4:34pm
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman menunjukkan sebahagian beg bungkusan teh Cina yang mengandungi pelbagai jenis dadah yang berjumlah RM5.08 juta pada sidang media rampasan dadah oleh PDRM di IPK Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Syabu RM5.08 juta dalam lori di kawasan perumahan

KUALA LUMPUR: Polis merampas 141 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM5.08 juta yang ditemui dalam sebuah lori yang diparkir berhampiran sebuah taman perumahan di Selangor, dipercayai djadikan stor simpanan oleh satu sindiket pengedaran dadah, Khamis lalu.

Penemuan dadah itu hasil tangkapan dan soal siasat ke atas enam individu termasuk dua warga asing dalam serbuan berasingan di tiga hotel sekitar Lembah Klang, bermula jam 11.35 pagi hingga 4.50 petang pada hari sama.

Tangkapan terdiri daripada seorang lelaki warga Singapura yang juga dalang utama berusia 40-an, serta empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, semuanya berusia 20 hingga 42 tahun.

Semua tangkapan dan rampasan dadah hasil Operasi (Op) Mitch oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) KL melalui siasatan dan risikan selama beberapa minggu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati sindiket itu sudah beroperasi kira-kira sebulan dan dadah berkenaan dipercayai untuk bekalan kepada pengedar dadah tempatan di luar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman menunjukkan sebahagian beg bungkusan teh Cina yang mengandungi pelbagai jenis dadah yang berjumlah RM5.08 juta pada sidang media rampasan dadah oleh PDRM di IPK Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman menunjukkan sebahagian beg bungkusan teh Cina yang mengandungi pelbagai jenis dadah yang berjumlah RM5.08 juta pada sidang media rampasan dadah oleh PDRM di IPK Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

"Siasatan turut mendapati sindiket ini menggunakan sebuah lori tiga tan untuk dijadikan stor simpanan dan kenderaan itu dipercayai diparkir di beberapa lokasi berasingan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui guni-guni berisi puluhan pek plastik bercap teh cina yang mengandungi serbuk dadah dipercayai syabu seberat 141kg dianggarkan bernilai RM5.08 juta dalam lori berkenaan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut Yahaya, semakan mendapati empat lelaki tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik selain ujian awal saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

"Menerusi tangkapan itu, kita turut merampas 0.7 gram dadah jenis heroin bernilai RM3,500 dan empat pil disyaki erimin 5 bernilai RM60 serta wang tunai RM5,168.

"Kita masih meneruskan siasatan lanjut berhubung rangkaian sindiket ini, punca bekalan dadah serta saki baki ahli sindiket serta kaitan pemilik lori dengan sindiket berkenaan," katanya.

Yahaya berkata, semua suspek kini direman antara empat hingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X