Isnin, 31 Januari 2022 | 4:14pm
PTPTN merekodkan sebanyak RM3.01 bilion jumlah deposit akaun SSPN bagi 2021, meningkat RM1.02 bilion atau 50.95 peratus berbanding RM1.99 bilion pada 2020. - Foto hiasan NSTP
PTPTN merekodkan sebanyak RM3.01 bilion jumlah deposit akaun SSPN bagi 2021, meningkat RM1.02 bilion atau 50.95 peratus berbanding RM1.99 bilion pada 2020. - Foto hiasan NSTP

PTPTN catat jumlah deposit SSPN RM3.01 bilion bagi 2021

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan sebanyak RM3.01 bilion jumlah deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi 2021, meningkat RM1.02 bilion atau 50.95 peratus berbanding RM1.99 bilion pada 2020.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata pencapaian berkenaan adalah suatu yang membanggakan dan telah memecah rekod pencapaian perbadanan itu untuk tiga tahun sebelumnya dengan RM1.14 bilion direkodkan pada 2018 dan RM1.37 bilion pada 2019.

"Jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul hingga 31 Disember 2021 ialah RM10.88 bilion manakala terimaan deposit berjumlah RM3.01 bilion bagi tahun 2021, adalah 167.08 peratus berbanding sasaran 2021 sebanyak RM1.8 bilion.

"Terimaan ini juga adalah 27.63 peratus daripada keseluruhan deposit yang diterima sejak SSPN diperkenalkan pada 2004," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelancaran Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN disempurnakan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN (kiri). Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid
Pelancaran Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN disempurnakan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN (kiri). Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid

Bagi prestasi pembukaan akaun baharu SSPN, sebanyak 421,281 akaun telah dibuka pada tahun lalu melepasi sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun dan hingga 31 Disember lalu, sebanyak 5.24 juta akaun telah dibuka.

Wan Saiful berkata, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan, PTPTN turut menyediakan tambahan kemudahan saluran bayaran balik dan simpanan secara dalam talian melalui kerjasama strategik bersama pihak lain seperti ShopeePay, BESTPay, KiplePay, KelantanPay, PayHalal, AnsaraPay dan SpayGlobal.

Selain itu, saluran bayaran melalui perbankan internet seperti JomPay dan bank-bank terpilih serta perkhidmatan e-Pay turut disediakan di terminal lokasi terpilih.

"Selaras dengan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 yang turut menumpukan kepada usaha pendigitalan PTPTN, inisiatif yang dilaksanakan ini adalah sebagai langkah awal PTPTN ke arah itu.

"Dari semasa ke semasa, PTPTN sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seiring dengan norma baharu dan perkembangan dunia digital. Sudah tentu usaha ini tidak akan terhenti di sini dan kita akan terus mengembangkan idea meneroka transformasi pendigitalan secara komprehensif," katanya.

Bagi 2021, PTPTN berjaya membantu seramai 140,977 pelajar yang ditawar melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan berjumlah RM3.51 bilion.

Daripada jumlah itu, seramai 70,412 pelajar atau 49.95 peratus adalah dari golongan B40 dan kurang berkemampuan, membabitkan jumlah pinjaman RM1.95 bilion manakala jumlah bayaran balik pinjaman yang diterima pada tahun lalu RM2.36 bilion, meningkat RM1.01 bilion atau 74.53 peratus berbanding RM1.35 bilion, pada 2020. – BERNAMA

Berita Harian X