Isnin, 31 Januari 2022 | 2:57pm
Foto NSTP/Mikail Ong (hiasan)
Foto NSTP/Mikail Ong (hiasan)

Jangan ambil kesempatan naik harga barang melampau

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terlalu tinggi susulan kenaikan tarif elektrik sektor industri.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna pula perlu memainkan peranan mengemukakan aduan terus kepada pihak berkuasa jika berlaku kenaikan harga barang yang terlalu tinggi.

"Tidak dinafikan pertimbangan perlu dibuat apabila tarif elektrik membabitkan syarikat besar serta industri terpaksa dinaikkan namun ia bukan alasan untuk menaikkan harga barangan pengguna dengan melampau.

"Jika terpaksa sekali pun (naik harga barang), kenaikannya tidak boleh membebankan pengguna yang sedia maklum terbeban dengan kos sara hidup akibat pandemik dan bencana banjir baru-baru ini," katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Yusof berkata, pihak peniaga dan industri sepatutnya memikirkan cara mengoptimumkan penggunaan elektrik mereka dengan menggunakan peralatan jimat elektrik.

Katanya, pihak peniaga dan industri terutama syarikat seharusnya melabur dalam penggunaan elektrik baharu seperti solar dan sebagainya.

"Kita kena ingat, penggunaan elektrik antara industri dan pengguna domestik berbeza. Mereka menggunakan elektrik untuk menjana pendapatan manakala pengguna domestik menggunakan elektrik untuk kegunaan kehidupan harian.

"Justeru, saya berharap pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat memantau perkara ini supaya pengguna tidak dibebani dengan kenaikan harga barangan yang melampau," katanya.

KPDNHEP sebelum ini memberi jaminan akan memantau syarikat pengeluar barangan bagi memastikan tiada peningkatan harga susulan kenaikan tarik elektrik sektor industri.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam, dilaporkan berkata syarikat dan industri tidak mempunyai alasan menaikkan harga barangan kerana perubahan dalam bil elektrik yang perlu dibayar tidak terlalu besar.

Berita Harian X