Isnin, 31 Januari 2022 | 12:48pm

Tetapkan tempoh masa pelaksanaan MA63

KUALA LUMPUR: Tempoh masa pelaksanaan pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu ditetapkan bagi memberi keyakinan dalam mengiktiraf tuntutan dan status istimewa Sabah serta Sarawak.

Pakar Undang-undang Perlembagaan dan Profesor Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, berkata ini kerana pindaan diluluskan tahun lalu dengan sokongan majoriti dua pertiga itu bukan saja disifatkan sebagai langkah permulaan yang baik, malah memberi harapan besar kepada dua negeri berkenaan.

"Sebagai kesesuaian dan kesetiaan kepada Perlembagaan, pemimpin politik di Semenanjung harus membina semula jambatan persefahaman dengan saudara kita di Sabah serta Sarawak supaya Persekutuan ini dapat lebih diperkasakan.

"Ini kerana pindaan terhadap Perlembagaan yang diluluskan itu memberi harapan bahawa hak sedia ada di Sabah dan Sarawak akan dikuatkuasakan dengan bersungguh-sungguh. Sebab itu tempoh masa pelaksanaannya perlu ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi webinar anjuran Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertajuk 'Kepentingan Akta Pindaan Perlembagaan 2021 kepada Sabah dan Sarawak' hari ini.

Shad Saleem berkata, Kerajaan Sabah dan Sarawak pula perlu mengambil peluang yang ada untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menerima dan mengamalkan dasar baharu negara terutama dalam pembangunan mampan, pendidikan serta pembasmian kemiskinan di dua negeri berkenaan.

"Lebih 50 tahun sejak Malaysia digagaskan, tidak semuanya berjalan lancar dan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ketegangan antara negeri dan Kerajaan Pusat berlaku di setiap sistem Persekutuan di dunia ini.

"Jadi saya melihat kejayaan pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 perlu dijadikan panduan kepada perjalanan menuju ke arah lebih baik," katanya.

Tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Sokongan majoriti dua pertiga itu diperoleh menerusi dua kali undi belah bahagian, masing-masing pada bacaan kali kedua dan ketiga, seperti ditetapkan Perkara 159 Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan RUU itu berkata, pindaan Perlembagaan bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Katanya, ia selaras agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

Berita Harian X