Ahad, 30 Januari 2022 | 6:41pm

Tahun baharu yang suram di Sungai Perdak

BENTONG: Suasana suram menyelubungi Kampung Sungai Perdak, Karak, di sini apabila penempatan tradisional Cina itu bertukar menjadi bandar hantu susulan banjir besar, bulan lalu.

Bencana kepala air merosakkan kediaman memaksa kira-kira 70 penghuni kampung itu berpindah ke tempat lain.

Penduduk, See Kam Heng, 55, berkata pada masa lalu mereka akan membuat persediaan sambutan Tahun Baru Cina dengan menghiasi jalan raya di kampung itu dengan tanglung merah. Bagaimanapun, tahun ini berbeza.

"Banjir 18 Disember lalu menyebabkan kampung ini lengang berikutan rumah kayu yang terletak di kedua-dua belah Jalan Karak Manchis rosak teruk. Ada pintu, tingkap dan dinding dihanyutkan air banjir manakala beberapa rumah masih dipenuhi lumpur dan serpihan kayu.

"Kampung ini mempunyai 28 keluarga, tetapi mereka berpindah ke tempat lain untuk tinggal bersama anak-anak atau saudara-mara buat sementara waktu," katanya sambil menambah masih banyak kerja pembersihan dan pembaikan perlu dilakukan.

 Suasana suram menyelubungi Kampung Sungai Perdak, Karak, di sini apabila penempatan tradisional Cina itu bertukar menjadi bandar hantu susulan banjir besar, bulan lalu. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

Jirannya Liang Ah Ha, 75, berkata banjir besar itu mengakibatkan perubahan besar. Dia juga tidak pasti sama ada penduduk lain akan kembali menduduki rumah mereka.

Katanya, sebelum ini, jalan di kampung akan sesak dengan orang ramai terutama perantau pulang melawat ibu bapa mereka yang sudah tua.

"Kini suasana sunyi sepi, tiada tanglung merah dipasang, tiada hiasan, tiada pergerakan kenderaan.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Perdak, Thu Yin Li berkata keadaan di kampung terbabit jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini dan mungkin mengambil sedikit masa sebelum kembali normal.

 Penduduk Kampung Sungai Perdak, Liang Ah Ha 75, termenung memikirkan banyak barangan rumahnya rosak akibat banjir menjelang sambutan Tahun Baru Cina. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Penduduk Kampung Sungai Perdak, Liang Ah Ha 75, termenung memikirkan banyak barangan rumahnya rosak akibat banjir menjelang sambutan Tahun Baru Cina. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X