Ahad, 30 Januari 2022 | 2:21pm

KPDNHEP pastikan syarikat pengeluar barangan tak naik harga

MARANG: Pasukan penguat kuasa akan memantau syarikat pengeluar barangan bagi memastikan tiada peningkatan harga barangan susulan kenaikan tarif elektrik sektor industri.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pegawai penguat kuasa bersedia membuat libat urus dengan syarikat besar terutamanya pihak industri supaya tidak berlaku kenaikan harga barangan.

Katanya, syarikat dan industri tidak mempunyai alasan menaikkan harga barangan disebabkan kenaikan tarif elektrik selepas ketiadaan rebat selain turut dikenakan surcaj.

"Kita akan pantau bagi memastikan tiada pihak terutama syarikat dan industri mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan kenaikan tarif elektrik di pihak mereka," katanya pada media selepas melakukan pemantauan harga barangan di Pasar Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan KPDNHEP mengenai kenaikan tarif elektrik membabitkan syarikat besar dan industri.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Azman menjelaskan, perubahan dalam bil elektrik yang perlu dibayar syarikat dan industri tidak terlalu besar untuk mereka menaikkan harga barangan.

Dalam perkembangan lain, Azman ketika mengulas kekurangan bekalan minyak masak paket di pasaran, meminta semua syarikat di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS) dan pembekal menyegerakan kerja pembungkusan serta agihan.

Katanya, kekurangan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sudah meluluskan pengeluaran 60,000 tan minyak masak bersubsidi setiap bulan bagi meringankan beban pengguna kurang berkemampuan.

"Kekurangan minyak masak paket berlaku atas beberapa faktor terutama pembelian panik dan gangguan bekalan di pasaran selepas masyarakat terpengaruh dengan berita tidak sahih di media sosial mengenai kenaikan harga barangan.

"Kita sudah arahkan semua peserta program COSS menyegerakan aktiviti pembungkusan dan agihan minyak masak paket kepada rantaian perniagaan mengikut kuota supaya kita dapat wujudkan lambakan di pasaran," katanya.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam (dua kiri) bersama Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (tiga kiri) memantau harga ayam semasa Sesi Tinjauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2022 di Pasar Awam Wakaf Tapai. - Foto GHAZALI KORI
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam (dua kiri) bersama Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (tiga kiri) memantau harga ayam semasa Sesi Tinjauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2022 di Pasar Awam Wakaf Tapai. - Foto GHAZALI KORI
Berita Harian X