Ahad, 30 Januari 2022 | 11:52am
- Hiasan
- Hiasan

Kenaikan tarif elektrik 1 Februari ini jejas pemulihan PKS

KUALA LUMPUR: Kenaikan tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri bermula 1 Februari ini dibimbangi menjejaskan pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi Persatuan PKS (SAMENTA), Datuk William Ng, berkata kenaikan tarif yang disifatkan sebagai 'surcaj' di bawah mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang dilihat sebagai kenaikan mendadak.

Katanya, lebih 1.6 juta pengguna komersial dan industri akan membayar antara 11.8 hingga 18.4 peratus untuk penggunaan elektrik, mengikut data Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Bagi kebanyakan PKS, terutama dalam sektor pekilangan, kos elektrik adalah faktor kos kedua atau ketiga terbesar, selepas kos bahan mentah dan buruh.

"Kenaikan sehingga 18.4 peratus dalam bil utiliti untuk perniagaan yang mempunyai margin keuntungan di bawah 10 peratus bermakna pengurangan antara 20 hingga 40 peratus keuntungan.

"Walaupun kami dapat memahami keperluan untuk pelarasan harga secara berkala, kami tidak dapat menerima kuantum yang diluluskan, terutama ketika TNB melaporkan lonjakan hasil dan pendapatan.

"Pendapatan TNB melonjak 9.6 peratus dan 4.6 peratus masing-masing untuk tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021. Pada suku ketiga tahun 2021, TNB meraih untung lebih RM1 billion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ST sebelum ini mengumumkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna domestik di Semenanjung melalui pelaksanaan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun ini.

Bagaimanapun, kadar surcaj 3.70 sen/kWj dikenakan kepada semua pengguna elektrik bukan domestik seperti komersial dan industri bermula Selasa ini.

Ng berkata, SAMENTA merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil langkah segera untuk menyelamatkan PKS seperti yang kerap dijanjikan.

Katanya, seandainya kenaikan tarif dibenarkan, persatuan itu menggesa Jemaah menteri supaya mempertimbangkan kuantum kenaikan yang lebih munasabah tanpa menjejaskan keuntungan TNB atau prestasi daya tahan syarikat itu.

"Kami akan terus menasihatkan ahli kami supaya tidak menaikkan harga barang walaupun kenaikan mendadak dalam bil elektrik dan kos bahan mentah.

"Yang pasti, kebanyakan PKS sedang beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis dan masih bergelut dengan kemelut ekonomi.

"Sekiranya kenaikan ini diteruskan seperti yang diumum, hampir mustahil bagi PKS menyerap kos tambahan tanpa menyalurkan sebahagiannya kepada pengguna," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata sekarang bukan masa sesuai untuk menyemak semula tarif elektrik, terutama bagi sektor perkilangan.

Beliau berkata, walaupun persekutuan itu menghargai lanjutan selama setahun yang menyaksikan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dikekalkan sepanjang 2021, banyak industri masih dalam kedudukan tidak stabil ketika mereka pulih daripada pandemik COVID-19.

"Pada masa ini, industri sedang bergelut dengan harga inflasi membabitkan hampir semua kos perniagaan dan kemudiannya terpaksa menangani kenaikan harga tenaga, yang juga akan memberi kesan ke atas kos barangan lain, terutama bahan mentah yang boleh melonjakkan inflasi.

"Sekiranya kos operasi terus meningkat, pengilang mungkin perlu membuat beberapa pelarasan kepada kos operasi mereka seperti meningkatkan harga produk, yang menjadi pilihan terakhir disebabkan oleh pasaran yang kompetitif atau strategi rasionalisasi kos lain membabitkan pengurangan perbelanjaan pentadbiran dan kakitangan, termasuk membekukan pengambilan pekerja yang akan menjejaskan usaha pemulihan perniagaan," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau menegaskan. keupayaan pengeluar untuk menyerap kos operasi yang lebih tinggi dalam tempoh yang sangat sensitif seperti sekarang adalah sangat terhad.

Justeru, katanya FMM mengulangi bahawa sebarang kajian tarif asas juga harus menangani subsidi silang yang lama dalam kategori tarif elektrik ke arah mewujudkan lebih banyak kecekapan dan kelestarian tenaga di negara ini.

"Pertimbangan sewajarnya harus diberikan kepada syarikat intensif tenaga tetapi cekap termasuk syarikat yang telah melabur dalam inisiatif kecekapan serta tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

"FMM memohon kepada kerajaan untuk menangguhkan sebarang kenaikan tarif elektrik sehingga kekangan rantaian bekalan global reda dan harga komoditi kembali normal disebabkan sektor pembuatan, yang membentuk kira-kira 37 peratus daripada jualan elektrik TNB, turut berdepan dengan cabaran lain dalam menyokong pemulihan mereka termasuk kekurangan tenaga kerja, kekangan eksport disebabkan oleh peningkatan kos pengangkutan serta banyak lagi," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Mohamed Mustakim Manaf, pula berkata, perniagaan masih memerlukan masa untuk pulih setelah kian lama berhadapan cabaran pandemik COVID-19 sejak Mac 2020.

"Perniagaan kini mengalami banyak tekanan berterusan walaupun sektor ekonomi boleh beroperasi. Kos pengangkutan yang terlalu tinggi berserta kekurangan pekerja memberi kesan terhadap perniagaan.

"Kita tidak perlu kenaikan kadar elektrik untuk menambah beban perniagaan yang mana peningkatan kos, mungkin sukar dibiayai perniagaan tanpa meningkatkan harga barangan," katanya kepada BH.

Berita Harian X