Sabtu, 29 Januari 2022 | 5:43pm
SOP baharu umrah menetapkan jemaah mempunyai insurans kesihatan. - Foto hiasan AFP
SOP baharu umrah menetapkan jemaah mempunyai insurans kesihatan. - Foto hiasan AFP

Jemaah umrah dilindungi insurans

PUTRAJAYA: Prosedur operasi standard (SOP) baharu umrah menetapkan jemaah mempunyai insurans kesihatan, bagi keperluan rawatan, pengasingan dan kuarantin bagi jangkitan COVID-19 semasa di Arab Saudi dan pulang ke Malaysia.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan SOP itu juga memastikan jemaah lengkap pelalian dan mewajibkan dos penggalak, demi keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Selain itu, syarikat pengendali umrah bertanggungjawab memaklumkan kepada jemaah mengenai tanggungjawab, tatacara, liabiliti dan arahan sepanjang perjalanan umrah jemaah.

Kementerian itu menyatakan SOP baharu perjalanan umrah itu diperhalusi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan akan dibawa ke mesyuarat kuartet untuk kelulusan.

Kementerian itu berkata, SOP berkenaan panduan untuk mengekang penularan COVID-19 ketika jemaah mengerjakan umrah.

Katanya, proses memuktamadkan SOP baharu mengambil kira kepentingan semua pihak secara menyeluruh, termasuklah mengimbangi umrah dengan pelaksanaan prosedur protokol kesihatan dan keselamatan yang lebih rapi, demi memelihara kebajikan jemaah di Tanah Suci dan juga ketika jemaah pulang ke tanah air.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari lalu bersetuju untuk membenarkan semula perjalanan umrah bagi jemaah dari Malaysia bermula 8 Februari ini, selepas kerajaan menggantung sementara perjalanan menunaikan ibadah umrah dan menilai data penularan COVID-19 varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang ke tanah air.

Selain daripada penilaian data KKM, penggantungan sementara pada masa ini bertujuan untuk memberi ruang kepada agensi kerajaan dan semua pihak menilai dan menambah baik SOP umrah.

Lapan sesi libat urus telah diadakan sejak Disember tahun lalu di Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dengan syarikat pengendali umrah seperti Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). – BERNAMA

Berita Harian X