Sabtu, 29 Januari 2022 | 4:47pm
Kapal The Genting Dream dikendalikan oleh Genting Hong Kong Ltd berlabuh di Marina Bay Cruise Center, Singapura. - Foto BLOOMBERG
Kapal The Genting Dream dikendalikan oleh Genting Hong Kong Ltd berlabuh di Marina Bay Cruise Center, Singapura. - Foto BLOOMBERG

Perjelas isu Genting Hong Kong

SEREMBAN: Isu tiga bank Malaysia sebagai ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong Ltd perlu diberikan penjelasan bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hal itu tidak boleh didiamkan terutama oleh pemimpin parti Melayu dan Islam.

"Saya rasa pemimpin parti Melayu dan Islam terutamanya, patut ada keberanian untuk membangkitkan isu ini.

"Tak kan soal bilion ringgit dibayar dan diberikan pinjaman kepada syarikat perjudian, rugi pulak tu, diam lagi. Ini harus diberi penjelasan oleh kedua-dua, parti Melayu dan parti Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada sesi dialog pada Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di sini, hari ini.

Anwar mengulas isu tiga bank Malaysia yang dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong Ltd, dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, persoalan yang timbul ialah siapa yang meluluskan, proses kelulusan, tindakan mendiamkan dan alasan bank Malaysia memberikan pinjaman kepada syarikat perjudian berkenaan.

Katanya, perkara itu perlu diberikan penjelasan oleh kerajaan, terutama berkaitan sama ada ia memberi kesan kepada sistem perbankan negara.

"Ini soalan-soalan yang masih belum ada respons daripada kerajaan," katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, isu Genting Hong Kong Ltd muflis tidak memberi impak kepada kecairan dan pertumbuhan ekonomi negara.

ANWAR (empat dari kanan) bersama kepemimpinan PKPIM pada majlis di Seremban, hari ini. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL
ANWAR (empat dari kanan) bersama kepemimpinan PKPIM pada majlis di Seremban, hari ini. - Foto NSTP/MOHD AMIN JALIL

Berita Harian X