Sabtu, 29 Januari 2022 | 10:30am
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

"Jangan jadi duri dalam daging" - Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Ahli UMNO dinasihat untuk tidak menjadi duri dalam daging ketika parti sedang meniti sebuah kebangkitan mutlak.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata seluruh saf UMNO sebaliknya wajar memperkukuhkan, memperkasa dan memperhebatkan parti dengan kekuatan sendiri.

"Nasihat saya jika tidak berupaya jadi garam, jangan pula menjadi langau.

"Janganlah kita menjadi duri dalam daging semasa UMNO sedang meniti sebuah kebangkitan mutlak. Perkukuhkan, perkasakan, perhebatkan UMNO dengan kekuatan kita sendiri," katanya dalam wawancara di NRChannel, semalam.

Tampil memberikan pencerahan, beliau berkata, laporan UMNO yang rasmi dan sahih menunjukkan bahawa hanya enam daripada 190 bahagian parti itu di seluruh negara mengemukakan usul supaya diadakan pemilihan parti dahulu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahmad Zahid menjelaskan, beliau tiada niat untuk membidas pihak yang mendakwa kononnya, 96 bahagian UMNO mahu pemilihan parti terlebih dahulu sebelum PRU-15.

"Namun itulah kebenarannya dan saya wajib menyatakan kebenaran apabila ditanyakan mengenai hal itu.

"Seperti diperjelaskan, saya tidak tahu bagaimana pihak yang membuat dakwaan itu mendapat angka 96, namun laporan yang saya terima daripada bahagian UMNO adalah rasmi dan sahih.

"Sebagai Presiden UMNO, saya tidak boleh membuat kesimpulan hanya bersandarkan 'hearsay' (cakap-cakap) kerana perkara itu membabitkan kepentingan dan kehendak majoriti 3.3 juta ahli UMNO di seluruh negara.

"UMNO sebagai sebuah parti harus rasional untuk menjaga kepentingan akar umbi berbanding menjaga kepentingan kelompok kecil yang kepompong pemikirannya mungkin terlalu jumud untuk agenda tersendiri," katanya.

Berita Harian X