Jumaat, 28 Januari 2022 | 7:22pm

Isu remaja 'mandi jenazah': Sepakat berdamai

KUANG: Semua pihak yang terbabit dalam kejadian remaja yang dimandikan ala 'jenazah' kerana cuba mencuri tabung masjid mencapai kata sepakat berdamai demi semangat ukhwah sesama Islam.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pertemuan bersama remaja itu, Daniel Iskandar, 19, keluarganya, ketua kampung dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah diadakan bagi berbincang secara ukhwah.

Katanya, perbincangan berjalan dalam keadaan mesra dan semua pihak mencapai kata sepakat dengan saling bermaaf-maafan.

"Mereka juga berjanji tidak akan mengungkit lagi apa yang berlaku sebelum ini dan bersetuju tidak akan mengingati apa yang berlaku.

"Jambatan ukhwah antara Daniel dengan keluarga serta AJK masjid juga akan dibina dan diharapkan kejadian ini menjadi teladan kepada institusi lain dalam menjunjung semangat ukhwah," katanya selepas selesai pertemuan itu petang tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Mufti Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris dan Ketua Kampung Damai Kuang, Abdul Ghani Abdullah.

Zainul Rijal berkata, agenda utama pertemuan adalah bagi menyahut saranan hakim.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, beliau mewakili semua pihak mengucapkan terima kasih dan menjunjung jalinan ukhwah untuk menyatupadukan dan menjernihkan kembali suasana.

"Majlis petang ini berjalan lancar dan apa yang berlaku sebelum ini dijadikan iktibar serta teladan kepada masyarakat di luar sana," katanya.

Sementara itu, usaha untuk menemubual Daniel tidak berjaya apabila remaja dibawa beredar dari masjid, namun sempat mengangkat tangan ketika gambarnya dirakam.

Daniel (kiri) dipegang kariah Masjid Al Islahiah ketika pertemuan yang turut dihadiri Zainul Rijal dan Miszairi, di sini, petang tadi. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Daniel (kiri) dipegang kariah Masjid Al Islahiah ketika pertemuan yang turut dihadiri Zainul Rijal dan Miszairi, di sini, petang tadi. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X