Jumaat, 28 Januari 2022 | 7:15pm
Petugas kesihatan menyuntik dos penggalak vaksin COVID-19 di Shah Alam. - Foto BERNAMA
Petugas kesihatan menyuntik dos penggalak vaksin COVID-19 di Shah Alam. - Foto BERNAMA

Suntikan terus di PPV swasta

KUALA LUMPUR: Pusat pemberian vaksin (PPV) swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan melaksanakan suntikan pelalian COVID-19 secara terus (walk-in) untuk individu berusia 18 tahun ke atas, esok.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli, berkata itu antara inisiatif bagi memastikan kesiapsiagaan rakyat Malaysia untuk berdepan gelombang Omicron yang sudah bermula.

Katanya, pemberian vaksin COVID-19 PPV kendalian pihak swasta secara terus itu juga inisiatif tambahan, di samping pemberian janji temu menerusi MySejahtera, dalam usaha memperluas liputan pelalian dos penggalak.

"Bagi memudahkan proses vaksinasi, individu yang ingin hadir secara 'walk-in' perlu memastikan sijil vaksinasi digital mereka di aplikasi MySejahtera berstatus lengkap.

"Penerima vaksin dengan janji temu MySejahtera akan diberi keutamaan dan vaksinasi secara 'walk-in' akan diberikan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

"Sekiranya PPV mencapai had kapasiti harian pemberian dos penggalak, sesetengah individu akan diminta untuk datang pada hari berikutnya.

"Senarai PPV boleh didapati daripada laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my, dan ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ProtectHealth ialah syarikat milik penuh Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertanggungjawab mengurus PPV oleh pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan.

Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, gelombang penularan varian Omicron sudah bermula di Malaysia dan dijangka menyebabkan jumlah kes COVID-19 akan meningkat, namun masih terkawal kerana kadar pelalian tinggi.

Jumlah kes harian COVID-19 mula mencatatkan pola peningkatan sejak 10 hari lalu, dan kembali mencecah lebih 5,000 kes semalam, selepas berlegar sekitar 2,000 hingga 3,000 kes sejak hujung bulan lalu.

Mengulas lanjut, Dr Anas berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan vaksin di klinik swasta pilihan mereka atau yang berdekatan, dinasihatkan menghubungi klinik berkenaan terlebih dahulu sebelum walk-in bagi mendapatkan suntikan.

Bebuli dan picagari vaksin COVID-19. - Foto REUTERS
Bebuli dan picagari vaksin COVID-19. - Foto REUTERS

Berita Harian X