KUALA LUMPUR: Isu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terlalu aktif berpolitik susulan pelaksanaan Undi18 tidak berbangkit kerana mereka adalah pengundi bermaklumat dalam meremajakan sistem demokrasi negara.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata soal sama ada golongan berkenaan matang atau sebaliknya tidak relevan kerana Undi18 sudah diluluskan di Parlimen.
"Pelajar berpolitik tidak dapat dielak, malah apabila tiba musim pilihan raya, mereka adalah pemegang taruh dan mereka tetap akan berpolitik.
"Saya yakin mereka mampu berfikir dengan matang kerana kelompok ini adalah pengundi bermaklumat iaitu kategori yang dapat memikirkan soal baik buruk memilih wakil rakyat," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, mengenai seramai 452,559 orang atau 38 peratus daripada 1.2 juta penuntut IPT di bawah seliaan kementerian, berusia antara 18 hingga 20 tahun berhak mengundi selepas Undi18 dilaksanakan.
Katanya, jumlah itu mempunyai pengaruh besar bagi mencorak keputusan pilihan raya umum akan datang.
Wan Ahmad berkata, pihak universiti tidak perlu merangka garis panduan khusus untuk memantau pembabitan pelajar dalam politik kerana itu adalah hak dan kebebasan mereka.
"Dalam soal politik, pilihan raya adalah kelangsungan proses demokrasi di negara ini. Dari segi cita rasa dan keputusan pengundi memilih sesiapa sahaja, itu hak dan kebebasan mereka, tidak perlu ada garis panduan dan sebagainya.
"Tidak perlu ada garis panduan kepada anak muda oleh pihak universiti kerana mereka diiktiraf sebagai cukup umur untuk mengundi dan bebas memilih sesiapa sahaja," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berpandangan garis panduan perlu diwujudkan bagi memantau pembabitan pelajar IPT dalam politik supaya tidak menjejaskan pengajian.
Beliau berkata, garis panduan berpandukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) itu penting bagi memastikan pelajar tidak terlalu taasub sehingga mengabaikan pelajaran.
"Politik kepartian mesti dipantau oleh universiti kerana kita tidak mahu pelajar ini terlalu tertumpu kepada politik sehingga mengabaikan pengajian.
"Bimbingan perlu diberi kepada pelajar kerana kita tidak mahu mereka terlalu leka dengan politik kepartian," katanya.