Jumaat, 28 Januari 2022 | 2:56pm

354,392 individu bekerja sendiri mencarum SKSPS

KUALA LUMPUR: Sejumlah 354,392 individu bekerja sendiri di negara ini mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengikut Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata majoriti individu bekerja sendiri yang mencarum SKSPS terdiri daripada sektor tidak formal terutama pengangkutan penumpang atau e-hailing.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat sektor yang mempunyai bilangan pencarum yang rendah seperti bidang pertanian dan angka itu diharap dapat dipertingkatkan menerusi kerjasama PERKESO dengan agensi seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)

"Daripada sektor penghantaran makanan dan barangan, seramai 210,000 sudah berdaftar di bawah SKSPS manakala sektor pertanian pula masih lagi di sekitar 1,400 saja.

"PERKESO berharap menerusi kerjasama bersama MADA, kesemua 57,000 petani berdaftar di bawah agensi itu dapat didaftarkan di bawah SKSPS," katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dengan MADA di Menara PERKESO, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman; Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri, Datuk Norsabrina Mohd Noor serta Datuk Ahmad Yahya.

Mohammed Azman berkata, kerjasama strategik antara PERKESO dan MADA itu diadakan bagi memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial dapat diperluas kepada individu bekerja sendiri khususnya kalangan petani di negeri Kedah.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai strategi bagi memulihkan semula kehidupan rakyat susulan pandemik COVID-19 termasuk inisiatif SPS Padanan Caruman khusus kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS).

Dianggarkan, 810,000 individu akan menerima manfaat liputan perlindungan SKSPS menerusi pelaksanaan inisiatif ini termasuk Orang Asli, pekerja gig, penjaja, orang kurang upaya (OKU), pengusaha sektor pelancongan, artis, petani dan usahawan wanita.

"Inisiatif SPS Padanan Caruman ini khususnya kepada golongan petani yang turut dipanggil sebagai SPS Tani merangkumi OBS dari sektor pertanian, perikanan termasuk akuakultur, penternakan dan juga perhutanan.

"Untuk inisiatif ini, kerajaan akan membiayai 80 peratus daripada kadar caruman di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS dan OBS hanya perlu membayar baki 20 peratus saja.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, sehingga kini seramai 262 petani di bawah MADA mendaftar untuk mencarum di bawah SKSPS dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 1,000 orang bermula 1 Februari ini.

Katanya, MADA juga akan memastikan lebih ramai petani di negeri itu mencarum dan menikmati perlindungan bersama PERKESO.

Mohammed Azman (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Kamarudin (tiga dari kiri) selepas menandatanganinya MoU antara PERKESO Dan MADA di Menara Perkeso. FOTO NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Mohammed Azman (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Kamarudin (tiga dari kiri) selepas menandatanganinya MoU antara PERKESO Dan MADA di Menara Perkeso. FOTO NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X