Jumaat, 28 Januari 2022 | 2:33pm
Datuk Seri Najib Razak - Foto fail NSTP
Datuk Seri Najib Razak - Foto fail NSTP

Permohonan Najib terima masuk Queen's Counsel didengar Jun ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menerima masuk Queen's Counsel (QC) bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada penghujung Jun.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media selepas pengurusan kes rayuan itu secara dalam talian hari ini, berkata permohonan untuk menerima masuk QC itu dijangka akan didengar di antara 20 dan 24 Jun ini.

Sementara itu, katanya Mahkamah Persekutuan menetapkan pada 25 Februari ini bagi pengurusan kes rayuan utama.

Katanya, sehubungan itu, peguam Najib diarahkan untuk memfailkan permohonan untuk menerima masuk QC pada 20 Mei ini.

"Bagi rayuan untuk memasukkan bukti baharu pula, mahkamah mengarahkan kedua-dua belah pihak memfailkan hujahan pada 28 Februari ini…rayuan itu akan didengar pada 15 dan 16 Mac ini," katanya.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana. SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkannya (Jho Low) menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yangsangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Berita Harian X