Khamis, 27 Januari 2022 | 5:55pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. - Foto NSTP
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. - Foto NSTP

Tiada kanak-kanak dipinggirkan dalam PICKids - KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan semua kumpulan kanak-kanak, termasuk golongan jalanan tidak akan terpinggir daripada menerima vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengenal pasti kanak-kanak jalanan yang layak menerima vaksinasi.

"Tidak ada kanak-kanak yang akan dibiarkan dan sudah pasti jika dilihat, kita bermula dengan kanak-kanak yang ada komorbid dengan suntikan diberikan di hospital.

"Begitu juga kanak-kanak di sekolah dan sebagainya. Jadi bagi kanak-kanak jalanan ini, mereka juga tidak akan dipinggirkan, kita akan bekerjasama dengan JKM untuk membolehkan mereka mendapat vaksin," katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, vaksin untuk kanak-kanak adalah selamat serta berkesan dan perkara itu turut disokong dengan kenyataan dikeluarkan Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari lalu.

Katanya, program vaksinasi bagi setiap lapisan masyarakat adalah penting untuk membolehkan negara ini memasuki fasa endemik seterusnya pulih daripada impak pandemik berkenaan.

"Seperti yang kita katakan, terdapat kira-kira empat juta kanak-kanak layak diberikan vaksin bagi melindungi mereka daripada kesan serius akibat COVID-19, sekiranya dijangkiti.

"Justeru, saya menyarankan setiap individu menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai ibu bapa dan penjaga untuk memastikan kesejahteraan keluarga serta negara," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak yang tidak mendapat vaksin COVID-19.

Katanya, golongan itu tidak akan disekat seperti golongan dewasa yang tidak divaksin kerana PICKids adalah tidak wajib.

Berita Harian X