Khamis, 27 Januari 2022 | 5:43pm
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, memberi peringatan kepada pemandu lori mengenai larangan menggunakan lebuh raya ketika waktu puncak. - Foto NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, memberi peringatan kepada pemandu lori mengenai larangan menggunakan lebuh raya ketika waktu puncak. - Foto NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL

`Lori degil' masuk lebuh raya

KUALA LUMPUR: Seramai 44 pemandu kenderaan berat disaman kerana menggunakan lebuh raya di sekitar Lembah Klang ketika waktu puncak.

Mereka dikenakan tindakan dalam Op Lancar yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE), hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin, berkata ramai pemandu kenderaan berat masih degil walaupun larangan berkenaan sudah 10 tahun dikuatkuasakan.

"Pelbagai alasan yang diberikan oleh pemandu kenderaan berat, termasuk tidak tahu mengenai penguatkuasaan larangan di waktu puncak.

"Kenderaan berat dengan Berat Tanpa Muatan (BTM) 10,000 Kilogram ke atas tidak dibenar menggunakan lebuh raya bermula jam 6 pagi hingga 9.30 pagi," katanya pada sidang media selepas tamat operasi.

Beliau berkata, sejumlah 2,385 saman dikeluarkan ke atas pemandu kenderaan berat kerana gagal mematuhi larangan itu, tahun lalu berbanding 1,458 saman pada 2020.

Bakri menjelaskan, larangan itu dikuatkuasakan bagi melancarkan aliran trafik ketika waktu puncak, sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya.

Berita Harian X