Khamis, 27 Januari 2022 | 4:22pm
Kes positif COVID-19 membabitkan kluster pendidikan di Kelantan semakin membimbangkan. - Foto NSTP
Kes positif COVID-19 membabitkan kluster pendidikan di Kelantan semakin membimbangkan. - Foto NSTP

Kluster pendidikan di Kelantan membimbangkan

KOTA BHARU: Kes positif COVID-19 membabitkan kluster pendidikan di Kelantan semakin membimbangkan susulan 23 kluster itu dikesan sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kluster itu membabitkan 21 sekolah, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di beberapa daerah.

Katanya, dua daripada kluster itu pula membabitkan penuntut di dua universiti awam (UA).

"Semua kluster ini mencatatkan kes positif membabitkan 796 orang terdiri 766 murid, pelajar dan kakitangan sekolah, manakala 30 lagi penuntut UA.

"Kebanyakan yang positif membabitkan kategori satu dan dua serta tidak serius. Namun, kita menasihatkan mereka supaya menjalani kuarantin kendiri bagi mengelak penularan jangkitan kepada orang lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, peningkatan jumlah kluster pendidikan di negeri ini berikutan kurangnya pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan murid dan pelajar.

"Kita harap semua murid, pelajar dan kakitangan sekolah terus patuh kepada SOP, termasuk sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial," katanya.

Berita Harian X