Khamis, 27 Januari 2022 | 3:09pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Lebuhraya Karak, LPT dijangka sesak sempena Tahun Baharu Cina

KUANTAN: ANIH Berhad (ANIH), syarikat konsesi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangka jumlah trafik lebuh raya kendaliannya meningkat sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Pengurus Besar Kanannya, Radzimah Mohd Radzi, berkata ini kerana ia kali pertama sejak dua tahun lalu, masyarakat Cina dibenarkan merentas negeri bagi menyambut perayaan itu bersama keluarga berjauhan.

Katanya, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan mengikut jadual dikeluarkan ANIH.

"Sebagai persediaan berdepan jangkaan itu, kami meningkatkan kekerapan jadual sanitasi dan pembersihan di semua kemudahan awam di Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

"Ia bagi memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) pergerakan digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tahun Baharu Cina akan diraikan pada 1 dan 2 Februari ini, manakala orang awam dijangka mengambil kesempatan untuk menghabiskan cuti musim perayaan yang panjang bermula Sabtu ini.

Radziman berkata, jadual cadangan waktu perjalanan sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina turut diedarkan kepada orang awam bersama 1,400 pelitup muka di plaza tol sepanjang lebuh raya.

Katanya, semua pengguna jalan raya dinasihat memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum serta mempunyai baki kad Touch N' Go yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pusat tambah nilai.

"Maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini tentang keadaan trafik boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT - Line di 09 5479111/1-700-818-700.

"Pengguna LPT2 boleh mendapatkan maklumat trafik melalui Twitter @LPT2Trafik, papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya atau menghubungi LPT2Line di talian 1800-88-0220," katanya.

Berita Harian X