Khamis, 27 Januari 2022 | 2:07pm

SOP pembukaan semula umrah sedang diperhalusi

PUTRAJAYA: Prosedur operasi standard (SOP) bagi ibadat umrah yang akan dibuka semula berkuat kuasa 8 Februari depan hanya dimuktamadkan selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapat persetujuan daripada beberapa kementerian dan agensi berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata setakat ini pihaknya sudah menyiapkan SOP tetapi ia masih diperhalusi dan perlu mendapat input terutama berhubung beberapa isu seperti kuarantin serta perlindungan insurans di tanah air membabitkan jemaah.

"Sebenarnya pada masa ini, kita sudah siap dengan SOP. Tetapi perlu juga input daripada Kementerian Kewangan (MoF). Jadi saya ada berhubung dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, beliau masih berada di luar negara untuk program tertentu.

"Beliau di sana pun sedang membuat SOP dan akan memberikan input," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia Program Diplomasi Budaya Bagi Memperkasakan Aktiviti Seni, Budaya dan Warisan Negara di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Semalam, Kabinet memutuskan umat Islam dibenarkan untuk mengerjakan ibadat umrah berkuatkuasa 8 Februari ini dan keputusan itu dibuat, berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah bermula 8 Januari lalu disebabkan penularan jangkitan Omicron.

Nancy berkata, memandangkan pengumuman pembukaan semula ibadat umrah baru dibuat semalam, pihaknya perlu mendapatkan persetujuan secara menyeluruh daripada semua pihak berkaitan.

"Misalnya, bagi SOP kuarantin ia bukan bidang kuasa MOTAC, jadi perlu dipersetujui secara menyeluruh oleh pihak berkaitan. Sama juga dengan insurans, yang ada sekarang untuk digunakan di Arab Saudi tetapi bila pulang ke tanah air, ia tidak digunapakai.

"Perkara teknikal seperti ini perlu kita bincangkan lagi dan kalau boleh (hal) insurans daripada pihak kita (di tanah air) turut diambil kira. Ini (perkara) dalam SOP yang perlu kita tentukan dan belum dapat dimuktamadkan lagi.

"Sebab itu kita umumkan awal supaya semua pihak terbabit bersedia," katanya.

Mengulas keputusan kerajaan yang akan membayar pampasan kepada jemaah umrah yang terjejas susulan penutupan sementara ibadat itu bermula 8 Januari lalu, Nancy berkata setakat ini ia masih di peringkat penelitian khususnya mekanisme akan digunakan bagi tujuan itu.

"Dari segi tuntutan, MOTAC sudah memberikan jumlah mereka terbabit, cuma ada yang sudah terbang dan belum berangkat. Justeru, pihak MOTAC perlu melakukan penelitian sebelum diserahkan kepada pihak MoF.

"MoF juga meminta MOTAC berbincang dengan terperinci bersama Lembaga Tabung Haji (TH) dan perbincangan sudah serta sedang dijalankan secara berterusan," katanya.

Beliau turut menjelaskan, mekanisme pampasan akan diperhalusi di antara MOTAC dan TH, selain akan turut memanggil wakil pengendali umrah bagi perbincangan lanjut.

Malam tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, mengumumkan, kerajaan akan membayar pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan pelaksaaan ibadat itu sepanjang penutupan sementara selama sebulan sehingga 7 Februari depan.

Idris berkata, pihaknya sedang menunggu senarai nama jemaah umrah yang layak untuk mendapat pampasan berkenaan dengan TH menjadi agensi bertanggungjawab menyalurkan wang berkenaan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah menyiapkan SOP bagi ibadat umrah yang akan dibuka semula berkuat kuasa 8 Februari depan tetapi ia masih diperhalusi. - Foto Bernama
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah menyiapkan SOP bagi ibadat umrah yang akan dibuka semula berkuat kuasa 8 Februari depan tetapi ia masih diperhalusi. - Foto Bernama
Berita Harian X