Rabu, 26 Januari 2022 | 7:27pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Kluster pendidikan membimbangkan

PUTRAJAYA: Kluster pendidikan terus mencatatkan peningkatan dengan 26 lagi kluster kategori itu dikesan pada Minggu Epidemiologi (ME) keempat, sehingga semalam.

Ia menyumbang kepada sebanyak 107 kluster pendidikan dengan 4,633 kes jangkitan sejak awal tahun hingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan ketara dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada 2022 berbanding sesi persekolahan pada tahun lalu.

Beliau berkata, pada ME pertama 2022, hanya terdapat tiga kluster pendidikan direkodkan, namun kenaikan kluster

dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME kedua dengan 15 kluster direkodkan dan peningkatan sebanyak 313 peratus pada ME ketiga.

"Secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster (52.3 peratus) diikuti oleh kategori pendidikan lain (24.3 peratus), kategori pendidikan tinggi (20.6 peratus), dan institusi pendidikan swasta berdaftar dengan KPM (2.8 peratus).

"Daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes atau 88.3 peratus sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula sudah menerima dos penggalak.

"Majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan, kategori 1 dan

2 iaitu 99.7 peratus atau 4,621 kes; manakala hanya 0.2 peratus (12 kes) membabitkan kategori 3 dan 4 yang kini berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terhadap kes dan kluster yang

dilaporkan mendapati ia berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) warga institusi pendidikan ketika di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama.

Selain itu, beliau berkata, individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas; murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin; pembersihan dan disinfeksi tidak dilakukan di ruangan tumpuan ramai secara berkala dan

sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas juga asrama.

Berikutan itu, satu mesyuarat khas diadakan pada 22 Januari lalu membabitkan KKM, KPM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata, ia mencapai 10 cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan.

Antaranya, pihak sekolah dinasihatkan untuk mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM;

segera melakukan penilaian risiko supaya pelajar yang dijangkiti COVID-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan terhadap kontak rapat.

"Pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan seperti selesema; pihak pengurusan institusi perlu menyediakan ruang yang bersesuaian bagi pengasingan kes COVID-19 dan kontak rapat serta individu yang layak untuk menerima vaksin COVID-19 dan dos penggalak digalakkan untuk berbuat demikian.

"Ibu bapa juga diingatkan untuk berperanan dalam memastikan hanya anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah; memastikan semua warga pendidikan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM sepanjang masa.

"Pembersihan dan disinfeksi perlu kerap dilakukan terutama di permukaan yang kerap disentuh; memastikan ventilasi di kelas, bilik asrama dan ruang tertutup dalam keadaan baik dan keputusan ujian kendiri COVID-19 murid dilaporkan kepada pihak sekolah," katanya.

Berita Harian X