Rabu, 26 Januari 2022 | 4:05pm
Yus Amira Mohd Yusuf, 26, berkerusi roda kerana masih dalam pantang ketika hadir Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sambil ditemani suaminya, Mohamad Amirul Hakim Mohd Sanusi, 26, hari ini
Yus Amira Mohd Yusuf, 26, berkerusi roda kerana masih dalam pantang ketika hadir Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sambil ditemani suaminya, Mohamad Amirul Hakim Mohd Sanusi, 26, hari ini

Graduan dalam berpantang kerana bersalin, tetap hadiri konvokesyen UNISZA

KUALA NERUS: Masih dalam tempoh berpantang selepas lima hari melahirkan cahaya mata, tidak menghalang seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini menghadiri Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke- 17, hari ini.

Lebih manis apabila graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Informatik Media) itu hadir bersama suaminya, Mohamad Amirul Hakim Mohd Sanusi, 26, yang juga graduan yang sama.

Yus Amira Mohd Yusuf, 26, berkata dia baru lima hari melahirkan anak sulung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan nekad untuk hadir pada majlis konvokesyen itu.

"Walaupun masih baru dan dalam pantang, saya tetap bertegas untuk hadir pada majlis konvokesyen itu kerana ia ialah hari bersejarah buat saya dan suami.

"Saya meminta izin doktor dan dibenarkan hadir ke majlis konvokesyen itu dengan beberapa nasihat kerana saya bersalin secara pembedahan, jadi perlu berhati-hati dan menggunakan kerusi roda sepanjang berada di majlis berkenaan," katanya.

Yus Amira berkata, memandangkan beliau bersama suami berada dalam dewan, segala urusan menjadi mudah termasuk bergerak dan merakam gambar kenangan sepanjang majlis.

"Kami tidak membawa anak bersama pada hari ini kerana masih dalam pengawasan di HUSM," katanya yang kini menyambung pengajian peringkat Sarjana Sains di UniSZA.

Yus Amira dan suaminya bernikah pada 1 Januari tahun lalu dan selamat melahirkan cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Umar Al-Fateh pada 20 Januari lalu.

Berita Harian X