Rabu, 26 Januari 2022 | 3:09pm

Tiada lagi keresahan akibat banjir

RANTAU PANJANG: Mangsa banjir di beberapa penempatan di Rantau Panjang tidak lagi dibelenggu keresahan apabila musim tengkujuh berakhir sepenuhnya.

Tinjauan di beberapa lokasi banjir seperti Kampung Tersang, Kampung Gual To'Deh, Kampung Lubok Stol dan Kampung Luar, di sini, mendapati penduduk sudah menjalankan aktiviti seperti biasa serta tiada lagi suasana rumah yang digenangi air .

Kebanyakan mereka juga yakin untuk mengemas semula perabot, peralatan elektronik serta dokumen penting yang terpaksa disimpan di tempat tinggi sebelum ini bagi mengelak ditenggelami air.

Bagi Narizan Zakaria, 50, pengalaman berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga tiga minggu memberi pelbagai pengalaman buatnya, namun mengakui rumah sendiri adalah yang paling selesa untuk berteduh.

"Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah kembali normal, kami tidak perlu lagi hidup dalam kerisauan. Malah banyak bantuan diterima bukan sahaja daripada pihak kerajaan tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup turun padang melihat nasib kami.

"Rumah yang rosak juga dibantu kerajaan untuk dibaik pulih, ia jelas membuktikan kepekaan pelbagai pihak dalam membantu mangsa bencana alam seperti kami.

"Kami mula menjalankan kerja harian seperti biasa selepas hilang punca pendapatan hampir dua bulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Perol, di sini, hari ini.

Sementara itu, penghulu Kampung Gual To'Deh, Syed Abu Bakar Mat Nor, berkata anak mukimnya yang menjadi mangsa banjir memuji kepemimpinan kerajaan yang banyak membantu mangsa banjir kali ini.

"Bukan sekadar menerima Bantuan Wang Ihsan, malah mereka yang terkesan turut dibantu daripada segi pembinaan serta baik pulih rumah yang terkesan banjir.

"Kesemua mereka sudah menarik nafas lega kerana tempoh musim tengkujuh sudah tamat namun terpaksa bersedia fizikal dan mental menghadapi bencana alam yang melanda kawasan ini hampir setiap tahun," katanya.

Narizan Zakaria, 57 menunjukkan halaman rumahnya yang sudah kering daripada limpahan air banjir ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Perol, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Narizan Zakaria, 57 menunjukkan halaman rumahnya yang sudah kering daripada limpahan air banjir ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Perol, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X