Rabu, 26 Januari 2022 | 2:19pm
Sebanyak 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam. - FOTO HIASAN
Sebanyak 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam. - FOTO HIASAN

142 kawasan di Petaling, Klang alami gangguan bekalan air

Oleh Norzamira Che Noh

bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Sebanyak 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di Seksyen 15, dekat sini, semalam.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, kejadian itu dikesan berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga.

Menurut kenyataan itu, Air Selangor perlu menjalankan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah berkenaan yang akan bermula jam 3 petang hari ini.

"Kerja-kerja pembaikan akan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Wilayah Klang. Pembaikan dijangka akan siap sepenuhnya jam 3 pagi esok dan bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna selepas itu.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," menurut kenyataan itu.

Air Selangor memaklumkan, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas, dengan keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan.

"Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air dari lori tangki," kata kenyataan itu lagi.

Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau talian 15300 untuk maklumat terkini. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Berita Harian X