Rabu, 26 Januari 2022 | 1:27pm
Mcdonald's Malaysia menghentikan sementara set hidangan besar bagi memastikan bekalan mencukupi - Foto hiasan
Mcdonald's Malaysia menghentikan sementara set hidangan besar bagi memastikan bekalan mencukupi - Foto hiasan

Mcdonald's Malaysia berdepan kekurangan bekalan kentang

SHAH ALAM: Masalah logistik di peringkat global menyebabkan Mcdonald's Malaysia berdepan kekurangan bekalan kentang goreng sehingga menyebabkan ia terpaksa 'mencatu' hidangan itu dengan hanya menawarkan set bersaiz sederhana bermula 24 Januari lalu.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Melati Abdul Hai, berkata pihaknya terpaksa mengambil langkah sedemikian bagi memastikan bekalan kentang gorengnya tidak habis dan makanan itu masih boleh terus ditawarkan kepada pelanggan.

Katanya, isu logistik global ini bukan hanya membabitkan Mcdonald's, tetapi industri lain seperti makanan, perabot dan sebagainya turut terjejas dengan masalah ini.

"Kami sedang cuba menguruskan stok yang akan sampai dari Amerika Syarikat (AS) supaya tidak kehabisan.

"Jadi, kami hentikan dulu set hidangan besar dan pelanggan masih lagi boleh memesan hidangan kami bersaiz sederhana. Langkah ini terpaksa dilakukan kerana kami tidak mahu pengalaman pelanggan terjejas sekiranya stok kentang kehabisan bekalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan perkhidmatan baharu di dalam aplikasi mudah alihnya iaitu 'Order & Collect' di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mcdonald's Malaysia di akaun Instagram memaklumkan bahawa hidangan bersaiz besar tidak ditawarkan bermula 24 Januari lalu kerana berdepan masalah kekurangan stok.

Mengulas lanjut, Melati berkata, pihaknya tidak boleh memberi jangka masa masalah itu akan berakhir.

"Berapa lama (masalah ini akan berterusan) kami tidak pasti. Ini kerana, terdapat banyak punca menyebabkan masalah kekurangan bekalan kentang ini berlaku.

"Masalah serupa turut berlaku di Mcdonald's di negara lain seperti di Taiwan dan Jepun," katanya.

Dalam pada itu, Melati berkata, dengan ciri baharu Order & Collect, pelanggan sudah tidak perlu bersusah payah beratur dan menunggu untuk membuat pesanan sekali gus memberi pengalaman yang lancar untuk menikmati hidangan Mcdonald's.

"Di Mcdonald's Malaysia, kami sentiasa memikirkan cara baharu dan inovatif untuk meningkatkan perkhidmatan dan memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan.

"Kita kini berada di dalam era di mana semua pengguna saling terhubung antara satu sama lain. Dengan ciri 'Order & Collect', tidak perlu lagi bersusah payah beratur dan menunggu untuk membuat pesanan.

"Ini adalah pengalaman yang lancar untuk pelanggan menikmati hidangan Mcdonald's kegemaran mereka," katanya.

Buat masa ini, ciri baharu itu hanya ditawarkan di restoran terpilih sekitar Lembah Klang dan akan ditawarkan di semua restoran Mcdonald's seluruh Malaysia tidak lama lagi.

Berita Harian X