PUTRAJAYA: Tabung Hidupan Liar (WWF) menegaskan pembalakan baik untuk harimau hanyalah membabitkan pembalakan terpilih iaitu hanya menebang sebilangan pokok tertentu setiap tahun dalam petak hutan.
WWF dalam kenyataannya, berkata ia tidak merangkumi pembalakan yang diadakan secara sembarangan dengan menebang seluruh hutan sekali gus.
Menurut kenyataan itu, perkara itu juga ada dalam kajian dibuat oleh pihak WWF pada 2009 yang bertajuk, 'Kepentingan hutan balak terpilih untuk pemuliharaan harimau Panthera Tigris: Anggaran kepadatan penduduk di Semenanjung Malaysia' oleh D Mark Rayan dan Shariff Wan Mohamad bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kepadatan harimau khususnya di hutan balak terpilih.
"Kajian 2009 mendapati, anggaran kepadatan 2.59 harimau dewasa adalah bagi setiap 100 kilometer (km) persegi. Ini menunjukkan bahawa hutan ditebang secara terpilih, seperti Hutan Simpan Gunung Basor, berpotensi untuk menampung kepadatan harimau yang tinggi.
"Kajian itu menyimpulkan bahawa penyelidikan lanjut amat diperlukan untuk memahami ekologi harimau dan mangsanya di hutan yang dibalak secara terpilih.
"Ini untuk memastikan garis panduan pengurusan mesra harimau boleh disyorkan untuk Pengurusan Hutan Lestari (SFM), sekali gus dapat menyumbang secara signifikan kepada pemuliharaan harimau di negara ini.
"Kami percaya bahawa hutan yang bersih dan tidak terganggu adalah habitat yang sesuai untuk harimau. Kawasan perlindungan dalam bentuk perlindungan hidupan liar dan taman negara adalah perlu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mendakwa aktiviti pembalakan di negeri berkenaan tidak menjejaskan populasi harimau.
Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah, berkata proses itu sebaliknya baik untuk pertambahan populasi berpandukan kepada kajian yang dibuat oleh seorang pakar dari Sarawak.
Abdul Khalim berkata, sekiranya ada pembalakan, banyak tumbuhan baharu akan tumbuh yang menarik haiwan seperti kancil untuk datang ke kawasan itu.
Dalam pada itu, WWF berkata, adalah penting untuk membezakan SFM yang mematuhi prinsip kemampanan daripada pembalakan konvensional apabila pembalakan sembarangan berlaku.
"Pembalakan sembarangan inilah yang membawa kepada kemerosotan hutan dan akhirnya penebangan hutan, apabila hutan sudah kehilangan fungsi dan nilainya, oleh itu ia akan ditukar kepada penggunaan tanah lain.
"Walaupun SFM mengekalkan integriti dan fungsi hutan, namun hutan yang terdegradasi tidak baik untuk biodiversiti dan hanya spesies generalis yang dapat menyesuaikan diri dengannya, seperti kucing harimau bintang dan musang sawit biasa yang akan boleh bertahan dalam keadaan sedemikian.
"Harimau memerlukan kawasan habitat yang luas untuk kelangsungan hidup mereka kerana mereka mempunyai julat rumah yang besar dan sangat teritorial.
"Dianggarkan bahawa kawasan perayauan untuk harimau jantan adalah 300km persegi, dan untuk betina 100km persegi. Degradasi hutan dan penebangan hutan mengakibatkan kehilangan habitat adalah ancaman terbesar dan paling segera kepada populasi harimau liar.
"Ancaman lain ialah pemburuan haram dan pemburuan harimau untuk dijadikan makanan dalam perdagangan hidupan liar antarabangsa," katanya.
Berikutan itu, kerja pemuliharaan harimau WWF-Malaysia perlu terdiri daripada beberapa komponen, yang kesemuanya direka untuk mengurangkan ancaman terhadap harimau dan hidupan liar lain yang hidup dalam landskap sama.