Selasa, 25 Januari 2022 | 7:46pm
Sebuah syarikat pengeluar minuman didenda di Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah melepaskan efluen perindustrian melebihi had yang dibenarkan. - Foto ihsan JAS Selangor
Sebuah syarikat pengeluar minuman didenda di Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah melepaskan efluen perindustrian melebihi had yang dibenarkan. - Foto ihsan JAS Selangor

Syarikat minuman didenda lepaskan sisa ke longkang

SHAH ALAM: Sebuah syarikat pengeluar minuman didenda Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melepaskan efluen perindustrian melebihi had yang dibenarkan ke longkang awam pada Disember 2020.

Pengarah Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata hukuman itu dijatuhi Hakim Rasyihah Ghazali selepas syarikat yang diwakili pengarahnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Syarikat yang beroperasi di Shah Alam itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan pada 31 Disember 2020 dan dituduh mengikut Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 10(3) Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2009 akta yang sama.

"Dalam fakta kes yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa JAS Selangor, syarikat didapati melepaskan efluen industri yang mempunyai parameter melebihi had lesen yang dibenarkan.

"Efluen industri yang dilepaskan mempunyai kepekatan parameter Keperluan Oksigen Kimia (BOD) sebanyak 720mg/L, Keperluan Oksigen Kimia (COD) sebanyak 5830mg/L dan pepejal terampai sebanyak 4060mg/L.

"Syarikat itu juga dituduh telah mengoperasikan sistem rawatan efluen perindustrian di premisnya itu tanpa orang yang berwibawa (Competent Person)," katanya dalam kenyataan hari ini.

JAS Selangor sentiasa akan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Berita Harian X