Selasa, 25 Januari 2022 | 3:12pm

Subsidi 80 peratus untuk pekerja sendiri

TUMPAT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan 10,000 orang bekerja sendiri mencarum ke dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), tahun ini.

Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, berkata sejak diperkenal pada 2017 kira-kira 20 peratus daripada kira-kira 43,000 orang bekerja sendiri mencarum SKSPS.

Katanya, menerusi skim berkenaan, pencarum layak menerima pelbagai faedah yang disediakan termasuk faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan dan faedah pengurusan mayat.

"Skim ini mempunyai sebanyak empat pelan yang bermula pada kadar bayaran RM232.80 sehingga RM592.80 bagi tempoh setahun dengan kumpulan sasaran orang bekerja sendiri yang terdiri daripada usahawanita, penjaja, nelayan, penghantar makanan dan sebagainya.

"Semasa perbentangan Belanjawan 2022, kerajaan akan menanggung sebanyak 80 peratus (RM186.20) dan orang bekerja sendiri hanya perlu membayar dengan kadar 20 peratus sahaja (RM46.60) menerusi Pelan 2, iaitu membabikan jumlah RM232.80," katanya selepas menyerahkan Faedah Orang Tanggungan Kematian di Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Terdahulu, Nora menyampaikan Faedah Pengurusan Jenazah bernilai RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM787.50 seumur hidup kepada M Roni Awang, 63, bapa kepada Allahyarham Nurul Syahirah, 25, yang terbabit dalam kemalangan pada 16 Januari lalu. – BERNAMA

Pekerja sendiri mendapat pelbagai faedah jika mencarum dengan PERKESO. - Foto BERNAMA
Pekerja sendiri mendapat pelbagai faedah jika mencarum dengan PERKESO. - Foto BERNAMA

Nelayan wajar mencarum dalam skim PERKESO. - Foto BERNAMA
Nelayan wajar mencarum dalam skim PERKESO. - Foto BERNAMA
Berita Harian X