Selasa, 25 Januari 2022 | 2:35pm

'Dia tetap sara keluarga walau sudah tiada'

TUMPAT: "Sepanjang hayatnya, arwah yang menyara keluarga dan kami tidak sangka dia tetap 'menanggung' kami lima beranak selepas dia pergi selamanya," kata ibu kepada Allahyarham Muhamad Safuan Mohd Shukri, 25.

Ramlah Awang Hamat, 46, berkata arwah yang juga anak sulung daripada empat beradik menjadi tulang belakang keluarga dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum bekerja sebagai pendawaian elektrik.

Menurutnya, anaknya baru lima bulan bertukar kerja sebelum terbabit dalam kejadian langgar lari di Kilometer 13, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai pada 13 Januari lalu yang turut mengorbankan rakannya, Shahri Azlin Ibrahim, 36.

"Selama ini Safuan yang bekerja menyara kami kerana suami saya hanya bekerja kampung dan dua lagi anak masih bersekolah.

"Selain itu, anak kedua, Muhamad Sufian, 22, juga tidak dapat bekerja sejak tiga tahun lalu kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan sebelah buah pinggangnya rosak sekali gus hanya Safuan yang kami harapkan.

"Hingga kini kami masih belum dapat menerima sepenuhnya pemergian Sufian dan menganggap pencen penakat ini adalah 'gajinya' yang diberikan setiap bulan kepada saya untuk perbelanjaan keluarga," katanya pada majlis penyampaian pencen penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah oleh Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob.

Penyampaian sama turut diberikan kepada waris Allahyarham Nurul Syahirah M Roni, 25, yang turut maut akibat digilis lori pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kampung Kubang Labu pada 16 Januari lalu.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.

Sementara itu, Nora berkata, orang ramai yang bekerja sendiri diminta mendaftar untuk mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789).

Menurutnya, kira-kira 20 peratus daripada 43,000 individu yang bekerja sendiri di negeri ini sudah mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan sejak 2017.

ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rosli Abdullah (lima kiri) diiringi oleh Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob (tiga kanan) menyerahkan Faedah Pengurusan Jenazah serta pencen penakat sebanyak RM636.65 dan RM787.50 kepda waris dua mangsa kemalangan di Taman Sri Delima, Tumpat hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rosli Abdullah (lima kiri) diiringi oleh Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob (tiga kanan) menyerahkan Faedah Pengurusan Jenazah serta pencen penakat sebanyak RM636.65 dan RM787.50 kepda waris dua mangsa kemalangan di Taman Sri Delima, Tumpat hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X