Selasa, 25 Januari 2022 | 2:15pm
 Teresa Kok (dua dari kanan) dan Alvin Mah (tengah) pada sidang media, hari ini. NSTP/Siti Haliza Yusop
Teresa Kok (dua dari kanan) dan Alvin Mah (tengah) pada sidang media, hari ini. NSTP/Siti Haliza Yusop

Wanita didakwa larikan wang lebih setengah juta ringgit

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Kondominium OG Heights, di sini, cuba mengesan kakitangannya yang menghilang sejak September 2020 selepas didakwa melarikan wang pengurusan membabitkan nilai melebihi setengah juta ringgit.

Pengerusi Badan Pengurusan Kondominium OG Heights, Alvin Mah, berkata wanita berusia 64 tahun itu hilang selepas memaklumkan yang dia perlu berjumpa doktor pada 25 September 2020.

Beliau berkata, laporan polis mengenai kehilangan wanita terbabit sudah dibuat badan pengurusan lima hari kemudian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Brickfields selepas dia gagal dihubungi.

"Selain dipercayai melakukan pecah amanah membabitkan dana pengurusan bernilai RM150,000, wanita terbabit juga dipercayai melarikan beberapa fail milik badan pengurusan ketika menghilangkan diri.

"Lebih mengejutkan pemeriksaan sebuah firma perakaunan forensik mendapati, nilai sebenar dana yang hilang ialah RM582,125.05 sepanjang 2017 hingga 2020.

"Jumlah sebenar mungkin lebih daripada itu memandangkan kakitangan terbabit sudah berkhidmat di sini sejak 2012," katanya pada sidang media di Kondominium OG Heights, di sini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, di sini, hari ini.

Mah berkata, selepas lebih setahun, keberadaan wanita itu masih tidak diketahui.

"Ia menyukarkan perbadanan pengurusan untuk menanggung kos penyelenggaraan tiga kompleks kondominium di sini yang sudah berusia lebih 30 tahun.

"Justeru kami berharap kes ini akan diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu, Kok menggesa polis menyegerakan siasatan kes berkenaan.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita itu untuk menyalurkannya kepada balai polis berhampiran.

Berita Harian X