Isnin, 24 Januari 2022 | 5:47pm
KeTSA mengesan perbuatan mencuri elektrik semakin serius dan berleluasa dalam kalangan pengusaha mata wang kripto, Bitcoin dengan peningkatan lebih 400 peratus kes sejak empat tahun lalu. - Foto ihsan polis
KeTSA mengesan perbuatan mencuri elektrik semakin serius dan berleluasa dalam kalangan pengusaha mata wang kripto, Bitcoin dengan peningkatan lebih 400 peratus kes sejak empat tahun lalu. - Foto ihsan polis

Bitcoin: Kes curi elektrik naik lebih 400 peratus

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengesan perbuatan mencuri elektrik yang semakin serius dan berleluasa dalam kalangan pengusaha mata wang kripto, Bitcoin dengan peningkatan lebih 400 peratus kes sejak empat tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata mengikut rekod sebanyak 610 kes kecurian elektrik dikesan pada 2018 diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes (2021).

Katanya, peningkatan kes itu menunjukkan trend membimbangkan kerana boleh memberi kesan bukan saja kepada industri tenaga dari segi nilai, malah terhadap kestabilan sistem bekalan elektrik dan keselamatan awam.

"Sejumlah 7,209 kes dikesan sepanjang empat tahun lalu bermula 2018 menyebabkan kehilangan lebih 4,545 GWh dengan anggaran kerugian lebih RM2.3 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama pelbagai agensi khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membanteras perbuatan yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990 itu.

"Pengusaha Bitcoin yang tidak bertanggungjawab dikesan mencuri elektrik dengan mengusik pepasangan meter atau melakukan penyambungan haram dan ia boleh mencetuskan pelbagai kejadian, termasuk gangguan bekalan akibat beban lampau (overloading) sehingga menyebabkan kebakaran.

"Penyambungan haram atau pengusikan pada pepasangan meter mengakibatkan bacaan pada meter tidak lagi menunjukkan penggunaan elektrik sebenar, sekali gus mengganggu kestabilan bekalan elektrik kerana permintaan melebihi kapasiti sehingga menyebabkan aktiviti perniagaan dan keselesaan rakyat terjejas," katanya.

Katanya, penggunaan melampau mesin melombong mata wang kripto berkuasa tinggi 24 jam tanpa henti boleh menyebabkan litar pintas akibat penggunaan fius yang tidak mengikut piawai atau tidak menggunakan sebarang fius dan beban melebihi kapasiti kabel, berisiko menyebabkan kebakaran.

"Justeru, saya mengingatkan mana-mana individu yang mencuri elektrik dengan melakukan usikan terhadap pepasangan TNB boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

"Selain itu, boleh didakwa bagi kesalahan mencuri dan khianat di bawah Kanun Keseksaan dan PDRM akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat.

"Dalam kes ini, kedua-dua pemilik premis dan individu yang menjalankan kegiatan itu boleh diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Takiyuddin berkata, pada masa sama kementerian komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi membanteras kegiatan itu, termasuk mengetatkan peruntukan undang-undang dan memperkasa agensi penguatkuasaan.

"Malah, kita bersama PDRM, ST, TNB serta PBT sentiasa melakukan pemantauan untuk mengesan premis yang disyaki melakukan kecurian atau penyambungan elektrik secara haram.

"Orang awam yang mengesyaki atau mempunyai maklumat berkenaan kecurian elektrik untuk melombong mata wang kripto disarankan menghubungi ST, TNB di talian 15454 dan pihak PDRM supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

"Tindakan semua pihak bagi menangani masalah ini diharap dapat menjamin bekalan elektrik yang stabil demi keselesaan dan keperluan semua pengguna," katanya.

Berita Harian X