Isnin, 24 Januari 2022 | 4:12pm
Keadaan jari telunjuk kanan mangsa yang masih terlekat pada tombol pintu ketika dibawa untuk rawatan di Hospital Bintulu.
Keadaan jari telunjuk kanan mangsa yang masih terlekat pada tombol pintu ketika dibawa untuk rawatan di Hospital Bintulu.

Derita 30 minit, jari telunjuk terlekat pada tombol pintu

BINTULU: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun, terpaksa menahan kesakitan selama setengah jam selepas jari telunjuk kanannya tersepit pada tombol pintu kediaman keluarganya di sini, petang semalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu berkata, tiga anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 2.23 petang.

"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati jari telunjuk kanan mangsa tersepit pada tombol pintu sebuah bilik," ujarnya.

Pada mulanya pasukan bomba cuba mengeluarkan telunjuk jari mangsa, namun tidak berjaya kerana jauh terselit dalam tombol dan menyebabkan mangsa kesakitan.

Katanya, susulan itu anggota bomba bertindak memotong tombol pintu terbabit dengan menggunakan pemotong elektrik mini bagi memutuskan tombol dari pintu sebelum membawa mangsa dengan tombol yang masih melekat pada telunjuk jarinya ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

Katanya, sampai di hospital, pasukan bomba dengan bantuan pegawai kesihatan bertindak mengeluarkan jari telunjuk mangsa dengan menggunakan peralatan khas dalam masa setengah jam.

Sejurus dikeluarkan ujarnya, jari telunjuk mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan susulan oleh pihak hospital.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan punca sebenar yang menyebabkan jari telunjuk kanan mangsa tersangkut pada tombol pintu terbabit.

Berita Harian X