Isnin, 24 Januari 2022 | 2:32pm
Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir bagi sambung perbicaraan kes rasuah 1.25 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu
Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir bagi sambung perbicaraan kes rasuah 1.25 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu

Peguam positif COVID-19, permohonan Rosmah supaya hakim tarik diri ditangguh

KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakkan cukai yang dihadapinya, ditangguhkan ke 3 Februari.

Penangguhan itu berikutan peguam utama yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu disahkan positif COVID-19.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan tarikh itu selepas peguam Azrul Zulkifli Stork, bertindak bagi pihak Rosmah memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam utama Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent telah disahkan positif COVID-19 pada 17 Jan lepas dan beliau diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari sehingga 26 Januari ini.

Menurut Azrul, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut menjalani kuarantin sehingga 25 Januari kerana merupakan kontak rapat kepada peguam utamanya itu.

"Turut menjadi kontak rapat kepada Geethan ialah peguam bela Rosmah yang lain iaitu Datuk Firoz Hussein (Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin) yang sedang menjalani kuarantin kendiri di Kota Kinabalu, Sabah sehingga 25 Jan manakala peguam Reza Rahim dan P. B Rajivan Nambiar dikuarantin sehingga 24 Jan.

"Oleh itu, saya memohon kes hari ini ditangguhkan ke 3 Feb ini," kata peguam itu pada prosiding hari ini," katanya.

Azrul berkata, surat berhubung permohonan penangguhan kes berkenaan telah dihantar kepada mahkamah pada 20 Januari lepas.

Mengenai permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes pengubahan wang haram dihadapinya, Azrul berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan berkenaan esok.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, berkata pihaknya telah menerima surat daripada pembelaan berhubung penangguhan kes, namun memaklumkan pendakwaan bersedia untuk meneruskan prosiding hari ini.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan," katanya.

Ini adalah kali kedua Rosmah memfailkan permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram (AMLA), selepas hakim itu yang turut mendengar kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid, telah menolak permohonan Rosmah pada 14 Disember.

Rosmah memfailkan permohonan pertama atas alasan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berat sebelah berlaku sekiranya Hakim Mohamed Zaini mendengar dan memutuskan kes pengubahan wang haram dihadapinya kerana hakim sama turut mendengar kes solar dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

Dalam permohonan kedua, Rosmah antara lain mendakwa tindakan pihak pendakwaan untuk membawa masuk percakapan beramaran kes pengubahan wang haramnya di dalam perbicaraan kes solar semestinya akan mempengaruhi Mohamed Zaini apabila beliau mendengar perbicaraan kes AMLA.

Rosmah juga merayu terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan pertamanya dan rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – BERNAMA

Berita Harian X