Isnin, 24 Januari 2022 | 1:27pm

Op Selamat: PDRM guna 'In-Car Radar', 'iCOPS'

PETALING JAYA: Buat kali pertama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempraktikkan penguatkuasaan secara digitalisasi menggunakan alat pengesanan had laju 'In-Car Radar' di sepanjang lebuh raya dalam penugasan Op Selamat 17 sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata teknologi itu akan digunakan sebagai tambahan kepada operasi penguatkuasaan biasa untuk mengesan kenderaan yang dipandu di lebuh raya melebihi had laju yang ditetapkan.

Pada Op Selamat kali ini juga, beliau berkata, PDRM akan mula mengguna pakai alat 'Intelligent Compound Online Payment System' (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap trafik.

"Ini termasuk kenderaan yang terbabit dalam kes jenayah seperti kenderaan curi, klon dan sebagainya.

"Kedua-dua peralatan ini amat membantu dalam menyimpan serta membina profil kenderaan secara sistematik bagi rekod analisa PDRM, pada masa kini dan hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Restoran Jejantas Sungai Buloh arah utara di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim.

Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail, Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.

Mengulas lanjut, penguatkuasan secara 'In-Car Radar' dan 'i-COPS' akan dilaksanakan oleh pasukan Peronda Lebuhraya PDRM yang ditugaskan melakukan rondaan di sepanjang lebuh raya negara termasuk Lebuh raya PLUS.

Mengenai Op Selamat 17, Razarudin berkata, operasi itu akan dilaksanakan bermula Jumaat ini (28 Januari) hingga 6 Februari dengan mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi'.

Razarudin berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Restoran Jejantas Sungai Buloh. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Razarudin berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Restoran Jejantas Sungai Buloh. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

"Selepas dua tahun Op Selamat tidak dilaksanakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Op Selamat kini dilancarkan semula.

"Operasi ini dilaksanakan dengan dua objektif utama iaitu mencegah jenayah pecah rumah dan meminimumkan kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Nasir dalam ucapannya berkata, Lebuh raya PLUS dijangka menerima lonjakan jumlah kenderaan sebanyak 1.6 juta sepanjang cuti sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 17.4 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

"Berdasarkan kajian, kita menjangkakan jumlah kenderaan di lebuh raya akan mula meningkat pada 28 dan 29 Januari serta 2 dan 5 Februari.

"Oleh itu, Lebuh raya PLUS dijangka akan menerima lonjakan jumlah kenderaan berbanding hari-hari biasa," katanya.

Katanya, PLUS sudah melakukan persediaan dalam menerima pertambahan kenderaan dan menyusun strategi pelaksanaan yang efektif.

"Seramai 264 pasukan PLUSRonda akan bertugas sepanjang musim perayaan ini dan kekerapan rondaan ditambah bagi membantu pelanggan yang menghadapi masalah.

"PLUS berharap Op Selamat kali ini akan mengingatkan masyarakat untuk menjadi lebih peka kepada nilai mengutamakan keselamatan yang perlu diterapkan kepada setiap pemandu.

Ini kerana, katanya, antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan termasuklah akibat mengekori terlalu rapat, memandu dalam keadaan mengantuk, hilang kawalan serta melebihi had laju yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain@ Abd Rasid (dua kiri) melakukan gimik pelepasan kenderaan pihak berkuasa pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Jejantas Sungai Buloh, Lebuh raya PLUS hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain@ Abd Rasid (dua kiri) melakukan gimik pelepasan kenderaan pihak berkuasa pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Jejantas Sungai Buloh, Lebuh raya PLUS hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X