Ahad, 23 Januari 2022 | 3:16pm

Penyu mati tertelan plastik

MARANG: Tidak sampai 24 jam, seekor lagi penyu agar ditemui mati terdampar di Pantai Kelulut di sini hari ini.

Sebelum ini, haiwan itu ditemui orang awam mati terapung di perairan Pulau Kapas kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, penyu betina seberat 60 kilogram dengan panjang hampir satu meter dengan lebar hampir 0.60 meter ditemui orang awam kira-kira jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, penyu agar yang dipercayai berusia antara 18 hingga 20 tahun itu dipercayai mati akibat tertelan plastik.

"Hasil pemeriksaan dijalankan kakitangan Cawangan Taman Laut, Pengurusan dan Perlindungan Sumber Negeri Terengganu menjumpai gumpalan plastik dalam mulut penyu itu.

"Tiada sebarang kecederaan yang jelas pada pada bangkai penyu itu dan berdasarkan keadaannya yang hampir reput dan berbau, kita percaya penyu itu sudah mati beberapa hari di laut sebelum bangkainya dihanyutkan ke pantai.

"Dengan kematian terbaharu ini, sebanyak 11 kes direkodkan dengan kejadian pertama pada 3 Januari lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ruzaidi berkata, pengunjung pantai peranginan dan nelayan dinasihatkan supaya tidak membuang plastik kerana ia menjadi punca utama kematian penyu.

"Pembuangan plastik ke dalam laut akan membuatkan sampah itu timbul dan menyerupai obor-obor yang menjadi makanan penyu.

"Kita turut mengadakan kempen 'Save Our Sea' bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak membuang sampah ke laut dan membawa sampah balik ke darat untuk di buang atau dilupuskan di tempat yang sepatutnya demi memastikan kelestarian sumber marin," katanya.

Sebelum ini, seekor penyu agar betina seberat 50 kilogram ditemui di pantai sama disebabkan faktor sama pada 12 Januari lalu.

Untuk rekod, sebanyak 51 kes kematian membabitkan hidupan marin itu yang direkodkan di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

Kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memeriksa bangkai penyu agar yang ditemui di Pantai Kelulut - Foto NSTP/ Zatul Iffah Zolkiply
Kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memeriksa bangkai penyu agar yang ditemui di Pantai Kelulut - Foto NSTP/ Zatul Iffah Zolkiply
Berita Harian X