Sabtu, 22 Januari 2022 | 2:27pm
Ka Siong memberikan kit keselamatan kepada penunggang motosikal selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya di Ayer Hitam, Batu Pahat. - NSTP/Essa Abu Yamin
Ka Siong memberikan kit keselamatan kepada penunggang motosikal selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya di Ayer Hitam, Batu Pahat. - NSTP/Essa Abu Yamin

Singapura tentukan kuota VTL - Ka Siong

BATU PAHAT: Malaysia menerima keputusan Singapura mengurangkan 50 peratus kuota bagi setiap Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kapasiti itu bukan ditentukan Malaysia, tetapi melalui rundingan dengan Singapura dan pihak berkuasa berkaitan terutama Kementerian Kesihatan kedua-dua negara.

"Malaysia juga tidak menolak jika Singapura bersetuju menambah bilangan kuota kerana memahami keperluan pengembara terutama menjelang musim perayaan.

"Segala keputusan diserahkan kepada agensi kesihatan untuk menentukan sama ada kapasiti semasa perlu ditambah atau tidak," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya di Dewan Muafakat Ayer Hitam dekat sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Khairil Anwar Abu Kasim dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL dibuka semula semalam selepas ditangguhkan pada 23 Disember tahun lalu.

Inisiatif VTL membolehkan pengembara dan warganegara Malaysia menyeberang tambak serta sempadan udara dari Singapura berdasarkan tahap kesihatan mereka.

Ka Siong berkata, ketika ini kerajaan menerima ribuan permohonan daripada pelbagai pihak supaya dibenarkan penambahan kuota VTL.

"Kerajaan kita perlu melihat persetujuan bersama antara kedua-dua negara dan bukan soal siapa tak mahu memperjuangkan perkara berkenaan," katanya.

Berita Harian X