Sabtu, 22 Januari 2022 | 2:14pm
Foto hiasan / AFP
Foto hiasan / AFP

PAPUH harap kerajaan pertimbang tanggung kos tambahan umrah

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) menjangkakan harga pakej umrah mampu dikekalkan sekiranya kerajaan menanggung kos tambahan, kira-kira RM1,500 membabitkan insurans, kuarantin dan ujian saringan COVID-19.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata jika kos itu ditanggung sendiri jemaah, kos umrah dijangka terpaksa dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM8,600 seorang.

"Jika kerajaan baik hati, tanggunglah kos tambahan ini kerana ia bukan membabitkan perjalanan (sepanjang) kerjakan umrah atau dinaikkan oleh agensi, tetapi berkaitan SOP bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.

"Harga pakej tetap sama, cuma ia mungkin terpaksa dinaikkan jika kos tambahan membabitkan tiga perkara utama, dua kali ujian saringan COVID-19 dan kuarantin wajib lima hari sebaik jemaah pulang ke tanah air serta insurans tambahan iaitu sekiranya berlaku perkara tidak diingini misalnya terpaksa dimasukkan ke hospital untuk rawatan COVID-19," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, memaklumkan pihaknya tidak dapat menghalang jika agensi pelancongan umrah menaikkan harga pakej selepas penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan menjelang pertengahan bulan depan.

Bagaimanapun, beliau berharap agensi pengelola umrah dapat terus mengekalkan harga yang ditetapkan ketika ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, sekurang-kurangnya RM1,500 anggaran kenaikan susulan kos tambahan wajib yang ditetapkan kerajaan sebaik penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan pertengahan bulan depan.

"Kos bagi dua kali ujian saringan PCR adalah RM500, bagi penginapan di hotel untuk kuarantin, minimum bayaran harian adalah RM150. Jadi, dalam tempoh lima hari (kuarantin), sekurang-kurangnya RM750 kos perlu ditanggung jemaah.

"Bagi kos insurans tambahan, dianggarkan sebanyak RM300 bayaran dikenakan. Ia adalah tambahan, selain insurans dalam visa umrah yang dibuat dengan pihak muassasah. Insurans ini penting bagi menangani isu kecemasan seperti tidak boleh terbang atau balik susulan penularan COVID-19 dan mengelakkan jemaah terpaksa berhabis duit sendiri jika terpaksa dirawat di hospital," katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, harga lantai pakej umrah yang ditetapkan MOTAC, RM6,900 adalah kekal.

Katanya, kenaikan kos itu tidak dapat dielakkan dan jemaah tanah air yang sebelum ini terpaksa menangguhkan ibadat umrah akibat sekatan COVID-19 turut perlu membuat bayaran tambahan berkenaan.

Berita Harian X