Sabtu, 22 Januari 2022 | 11:25am

Puluhan individu berbaju hitam di sekitar kawasan LRT Bangsar

KUALA LUMPUR: Kelibat sejumlah individu berbaju hitam dipercayai peserta perhimpunan #TangkapAzamBaki, kelihatan berkumpul di sekitar kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini.

Setakat jam 10.50 pagi tadi, puluhan individu berbaju hitam dilihat mula bergerak ke tengah Jalan Bangsar di kawasan terbabit.

Mereka dilihat turut membawa plakad, antaranya tertera 'Lawan Koruptor', dengan berpakaian baju hitam tertulis 'Bangkit dan Lawan' serta 'Demokrasi Mati', selain mengibarkan bendera hitam dan bendera DAP serta memegang kain rentang tertera 'Tangkap Azam Baki'.

Bagaimanapun, situasi di lokasi himpunan bagi mendesak supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, ditahan itu masih terkawal dengan sejumlah anggota polis dilihat melaksanakan kawalan.

Keadaan di sekitar kawasan LRT Bangsar. - Foto BH
Keadaan di sekitar kawasan LRT Bangsar. - Foto BH

Selain peserta perhimpunan itu, turut kelihatan beberapa individu dipercayai daripada kumpulan pemerhati tertentu seperti Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Semalam, penganjur perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di hadapan Kompleks Sogo, pagi ini, menukar lokasi perhimpunan ke kawasan Bangsar.

Ia susulan perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur melarang perhimpunan di sekitar Kompleks Sogo, Masjid Jamek dan Dataran Merdeka, selama tujuh hari bermula kelmarin.

Antara individu berbaju hitam yang berkumpul sambil membawa plakad. - Foto BH
Antara individu berbaju hitam yang berkumpul sambil membawa plakad. - Foto BH
Berita Harian X