Jumaat, 21 Januari 2022 | 9:25pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Ambil dos penggalak bantu optimum tahap imuniti

PUTRAJAYA: Pemantauan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) mendapati tahap imuniti seseorang terhadap COVID-19 menurun sehingga 20 peratus walaupun selepas menerima dua dos vaksin lengkap.

Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dos penggalak perlu diberikan selepas tempoh tertentu bagi memastikan imuniti individu yang lengkap vaksinasi kekal pada tahap optimum.

Beliau berkata, kajian dilakukan di pelbagai negara seperti Israel, United Kingdom dan Chile mendapati terdapat penurunan tahap 'neutralising antibody' kepada virus COVID-19 selepas tiga hingga enam bulan menerima dos primer lengkap.

"Bagi penerima vaksin Sinovac, berlaku penurunan imuniti sebanyak 40 peratus selepas tiga hingga lima bulan menerima dos kedua.

"Sehubungan dengan itu, dos penggalak COVID-19 perlu diberikan selepas beberapa tempoh tertentu untuk memastikan imuniti yang diperoleh kekal pada tahap optimum," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak pemberian dos penggalak bermula pada 13 Oktober lalu sehingga 20 Januari tahun ini, seramai 10,235,759 individu atau 43.7 peratus populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas sudah menerima doa penggalak.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, petugas barisan hadapan terutama di sektor kesihatan digalakkan mengambil dos penggalak bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, ia berikutan anggota barisan hadapan kesihatan termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi terdedah jangkitan COVID-19.

Katanya, saranan beliau itu hadir selepas United Kingdom (UK) berdepan dengan peningkatan kes COVID-19 sangat tinggi sehingga 218,274 kes sehari pada 4 Januari lalu, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus dari 31 Disember 2021.

"Peningkatan kadar jangkitan di UK menyebabkan jangkitan ketara dalam kalangan petugas kesihatan dan mengakibatkan mereka tidak dapat bertugas sama ada disebabkan oleh jangkitan atau perlu menjalani kuarantin.

"Peningkatan (kes jangkitan) ini juga secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kemasukan ke wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital iaitu sehingga 3,700 kes sehari. Situasi itu menyebabkan sistem kesihatan di sebahagian negeri berada dalam kritikal.

"Ia seperti perkhidmatan ambulans terjejas dan kekurangan petugas di wad dan ICU serta perlu memanggil semula pekerja bercuti atau berehat termasuk bersara untuk bertugas semula," katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, petugas kesihatan tidak terlepas daripada terdedah kepada jangkitan daripada pesakit sama ada di Pusat Rawatan dan Kuarantin (PKRC), menjalankan ujian terutama ujian pengesanan COVID-19 di makmal seluruh negara.

"Anggota barisan hadapan kesihatan juga terdedah dengan jangkitan ketika menjalankan aktiviti di lapangan seperti pengesanan kontak rapat, pemeriksaan premis, pengendalian jenazah pesakit COVID-19 dan pengambilan sampel untuk ujian COVID-19," katanya.

Berita Harian X