Jumaat, 21 Januari 2022 | 5:24pm

Penganggur terima padah lakukan amang seksual

TAIPING: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan, Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Nasiruddin A Rahman, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun dengan mengucup bibir dan meramas payudaranya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual ke atas mangsa sama dengan membuatkan mangsa menyentuh kemaluan tertuduh untuk perbuatan luar tabii.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di dalam kereta jenis Toyota Avanza di kawasan ladang kelapa sawit dekat Jalan Lampin, Selama antara jam 5 hingga 6 petang pada 24 Disember tahun lalu.

Atas dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faakihin Ahmad Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,0000 selain menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk bagi lantikan peguam.

Polis sebelum ini menahan seorang lelaki pada 11 Januari lalu selepas dipercayai merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenalinya melalui aplikasi Instagram di Selama.

Muhammad Nasiruddin didakwa dengan dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas remaja berusia 13 tahun, 24 Disember tahun lalu. FOTO NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Nasiruddin didakwa dengan dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas remaja berusia 13 tahun, 24 Disember tahun lalu. FOTO NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Berita Harian X