Jumaat, 21 Januari 2022 | 4:35pm

JAS PP buka 2 kertas siasatan

NIBONG TEBAL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang membuka dua kertas siasatan terhadap syarikat bertanggungjawab mengurus tapak pelupusan sampah dekat Pulau Burung di sini yang terbakar, sejak Rabu minggu lalu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 29A iaitu pembakaran terbuka dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekitar (EQA) 1974 untuk melihat pematuhan kepada syarat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Katanya, ini bukan kali pertama JAS negeri bertindak terhadap syarikat yang menguruskan tapak pelupusan itu.

"Daripada apa yang boleh saya rumuskan, syarikat terbabit diberi sebanyak 14 notis sebelum ini dan dua kompaun kerana kesalahan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A EQA 1974.

"Terdapat kes mahkamah berhubung pengurusan larut resapan. Ia akan dibicarakan bulan depan," katanya.

Dilaporkan lebih empat hektar daripada tapak pelupusan sampah Pulau Burung seluas 16 hektar itu musnah terbakar sejak 12 Januari lalu.

Pencemaran yang berlaku di tapak pelupusan itu memberi kesan kepada penduduk di Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru, mengakibatkan kira-kira 400 penduduk dari kedua-dua kampung itu dipindahkan.

Selain itu, 10 sekolah dalam radius 10 kilometer dari tapak pelupusan sampah itu juga diarah tutup selama tiga hari sehingga hari ini.

Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang memasuki hari kesembilan hari ini. Tapak pelupusan sampah ini, diisytihar sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan arahan MKN Nombor 20. FOTO NSTP/DANIAL SAAD
Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang memasuki hari kesembilan hari ini. Tapak pelupusan sampah ini, diisytihar sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan arahan MKN Nombor 20. FOTO NSTP/DANIAL SAAD

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung sejak itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kawasan kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.

Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, terdapat sedikit peningkatan dalam bacaan kualiti udara di kawasan terjejas di luar tapak pelupusan Pulau Burung.

"Kami menghantar pasukan pemantau sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk mengesan sebarang bahan pencemar dalam bentuk gas dan habuk dilepaskan dari tapak pelupusan sampah.

"Melihat kepada aliran semasa, bacaan menunjukkan peningkatan. Selain itu, usaha memadam kebakaran menerusi udara sejak dua hari lalu membuahkan hasil positif," katanya.

Sharifah Zakiah - FOTO NSTP/DANIAL SAAD
Sharifah Zakiah - FOTO NSTP/DANIAL SAAD
Berita Harian X