Jumaat, 21 Januari 2022 | 4:31pm
 (MOTAC) tidak dapat menghalang jika agensi pelancongan umrah menaikkan harga pakej selepas penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan menjelang pertengahan bulan hadapan. - Foto hiasan AFP
(MOTAC) tidak dapat menghalang jika agensi pelancongan umrah menaikkan harga pakej selepas penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan menjelang pertengahan bulan hadapan. - Foto hiasan AFP

MOTAC harap agensi pelancongan umrah kekal harga pakej

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak dapat menghalang jika agensi pelancongan umrah menaikkan harga pakej selepas penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan menjelang pertengahan bulan hadapan.

Namun, Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berharap agensi berkenaan dapat terus mengekalkan harga yang ditetapkan ketika ini.

"Berkenaan harga umrah saya tidak dapat tentukan. Mungkin jika mereka (agensi pelancongan umrah) dapat menjalankan secara teratur untuk bekerjasama dengan pihak Arab Saudi, mungkin itu cara untuk mereka kekalkan harga.

"Ini adalah perniagaan, jika mahukan perniagaan laku mereka akan bersaing sesama sendiri dan ini adalah mengikut kreativiti sendiri," katanya selepas merasmikan Restoran Kedey Kamek yang menampilkan citarasa makanan Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai sesi libat urus dengan Kementerian Kesihatan (KKM) Rabu lalu, beliau berkata pihaknya menerima pelbagai keluhan daripada syarikat pengendali umrah.

Antara keluhan yang diterima membabitkan isu kuarantin, insurans, isu bayaran balik dan berkenaan isu jemaah umrah yang dikatakan tidak mendapat suntikan vaksinasi.

"Saya bersama Menteri KKM, Khairy Jamaluddin akan melihat perkara berkenaan. Ini termasuk berkenaan isu insurans kerana mereka mahu hanya agensi pelancongan umrah yang kendalikan.

"Memang kita setuju tetapi kita dapat kawal kerana itu adalah polisi atau dasar daripada negara lain. Agak sukar untuk campur tangan dalam keputusan orang lain. Tetapi kita perlu tangani secara diplomasi supaya tidak akan ada masalah terutama isu berkaitan insurans yang kita nak bantu," katanya.

Kelmarin MOTAC dan KKM dalam kenyataan bersama memaklumkan proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) akan dimuktamadkan menjelang pertengahan bulan hadapan.

Keputusan itu dibuat selepas berlangsung sesi libat urus KKM serta MOTAC bersama penggiat industri pelancongan umrah di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC).

Berita Harian X