Jumaat, 21 Januari 2022 | 12:46pm

Boleh naikkan harga makanan asal tidak terlampau tinggi

KUCHING: Peniaga makanan dibenarkan untuk menaikkan harga jualan mereka dengan syarat, tiada sebarang unsur mencatut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata, kebenaran itu diberi berikutan ramai peniaga kini berdepan masalah susulan harga bahan mentah yang semakin meningkat.

Justeru katanya, peniaga harus memastikan kenaikan harga barang jualan mereka itu adalah munasabah dan tidak membebankan pengguna.

"Kita sudah berunding dengan peniaga dan meminta mereka agar tidak menaikkan harga barang secara mendadak.

"Kita juga hendak memastikan peniaga tidak mengalami kerugian kerana harga bahan mentah sudah terlalu meningkat sebab itu mereka boleh menaikkan harga tetapi tidak ada unsur mencatut iaitu janganlah mengaut keuntungan terlampau tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.

Menurutnya lagi, kebenaran itu diberikan selepas pihaknya mengkaji memang ada keperluan untuk menaikkan sedikit harga barangan kerana menjadi tanggungjawab KPDNHEP untuk menjaga semua pihak, peniaga dan pengguna.

Mengenai kenaikan harga ayam yang diramal meningkat selepas SHMKM tamat 4 Februari ini, Rosol berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menanganinya termasuk menambah kuantiti ayam di pasaran.

Menurutnya, pihaknya sudah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk meningkatkan bekalan dengan membawa ayam import.

"MAFI pun sudah mengeluarkan 20 permit import (AP) untuk menyelesaikan masalah bekalan seterusnya mengawal harga ayam di pasaran.

Mengenai isu Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), beliau berkata, ia sudah dibawa dalam mesyuarat Kabinet dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) diminta membuka lebih banyak lorong Touch N Go (TnG) dan SmartTAG bagi memastikan kelancaran pembayaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengadakan tinjauan sempena pelaksanaan skim harga maksimum keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong. - NSTP/Nadim Bokhari
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengadakan tinjauan sempena pelaksanaan skim harga maksimum keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong. - NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X