Jumaat, 21 Januari 2022 | 12:27pm
TnG diminta terus memberikan pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) secara percuma. - Foto hiasan NSTP
TnG diminta terus memberikan pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) secara percuma. - Foto hiasan NSTP

Beri pelekat RFID secara percuma

PUTRAJAYA: Syarikat perkhidmatan pembayaran elektronik, Touch n Go Sdn Bhd (TnG) dicadang memberikan pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) secara percuma kepada pengguna serta meneruskan kempen kesedaran penggunaan di plaza tol milik konsesi Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii, berkata ia berikutan rakyat tidak boleh dibebani dengan kaedah pihak swasta yang mahu memaksa pengguna berpindah kepada RFID dengan keuntungan melampau.

Beliau berkata, ketika ini, banyak syak wasangka terhadap tindakan PLUS dan TnG apabila mahu menghapuskan SmartTAG dan mahu menggantikannya dengan RFID.

Katanya, pengenaan bayaran RM35 bagi setiap pelekat RFID itu pula dibuat berdasarkan balasan kempen mengenainya sudah dilaksanakan sejak dua tahun sebelum ini.

"Sepatutnya apabila jumlah pengguna lebuh raya PLUS diaktifkan, ada banyak cara boleh diteruskan (untuk) pemberian percuma RFID... Boleh sahaja buat kempen berterusan di plaza tol untuk kesedaran pengguna terhadap penggunaan RFID.

"Dapatkan data secukupnya berkenaan statistik penggunaan di plaza tol dan sekira baki pengguna SmartTAG berbaki 10 peratus barulah boleh dicadangkan untuk melupuskan penggunaan SmartTAG.

"Syarikat TnG adalah syarikat yang diberi hak untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan pembayaran dan boleh dikatakan secara monopoli. Pengguna tidak perlu menangung kos seperti RFID," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Razlan berkata, jika kempen kesedaran dan pemberian pelekat secara percuma diteruskan, sudah pasti rakyat akan beralih kepada sistem RFID dari SmartTAG kerana sistem itu membolehkan mereka tidak perlu menukar bateri dan lain-lain perkara berkaitan.

Pada masa sama, Razlan turut memuji keperihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil berat isu rakyat serta membuat keputusan dengan pantas dan berpihak kepada rakyat.

"Kita bersyukur kerana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cukup prihatin dengan masalah ini.

"Dasar Perdana Menteri yang terus mementingkan Keluarga Malaysia dan tidak berpihak kepada kapitalis yang melampau membuktikan rakyat terus dibela.

"Keputusan untuk meneruskan SmartTAG dan memberi pilihan kepada rakyat yang diarahkan Perdana Menteri, meredakan keadaan ini," katanya.

Rabu lalu, BH melaporkan mesyuarat Kabinet memutuskan pengguna lebuh raya perlu diberi pilihan sama ada mahu menggunakan teknologi RFID, TnG, atau SmartTAG untuk bayaran caj tol.

Perdana Menteri, dilaporkan berkata, pilihan sama turut diberikan kepada pengguna ketika peralihan pembayaran tunai kepada TnG dan SmartTAG, sebelum ini.

Berita Harian X