Khamis, 20 Januari 2022 | 8:25pm
Kementerian Kesihatan menetapkan tempoh baharu kuarantin hanya selama lima hari khusus untuk pengembara dari luar negara yang pulang dan sudah lengkap dos penggalak, bermula Isnin depan. - Foto fail NSTP
Kementerian Kesihatan menetapkan tempoh baharu kuarantin hanya selama lima hari khusus untuk pengembara dari luar negara yang pulang dan sudah lengkap dos penggalak, bermula Isnin depan. - Foto fail NSTP

Lengkap dos penggalak 5 hari kuarantin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan tempoh baharu kuarantin hanya selama lima hari khusus untuk pengembara dari luar negara yang pulang dan sudah lengkap dos penggalak, bermula Isnin depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pelepasan kuarantin pada hari kelima diberikan jika ujian saringan RT PCR mereka pada hari keempat atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari kelima adalah negatif.

Bagi pengembara yang tiada dos penggalak tetapi lengkap vaksin, tempoh kuarantin ditetapkan adalah tujuh hari, sementara 10 hari pula bagi mereka yang tiada rekod vaksinasi lengkap.

"Pengurangan tempoh kuarantin bagi pengembara dari luar negara ini akan mula berkuat kuasa pada Isnin, 24 Januari 2022," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy Jamaludin. - foto BERNAMA
Khairy Jamaludin. - foto BERNAMA

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

KKM turut menetapkan bahawa semua pengembara yang tiba dari luar negara akan diberikan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

"Maka dengan itu, pengembara-pengembara tidak perlu lagi dipakaikan gelang pengawasan biasa (warna pink). Bagaimanapun bagi pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi dan dibenarkan menjalani perintah kuarantin di kediaman, mereka masih akan dipakaikan gelang pengawasan digital," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata mengenai garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, KKM dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari tahun ini.

"KKM amat berharap semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat," katanya.

Berita Harian X