Khamis, 20 Januari 2022 | 11:02am
Nelayan menunjukkan sisa buangan dalam parit berhampiran kilang memproses udang dan sotong di Batu 12/2, Jalan Pantai Kuala Kurau, Perak. - Foto ihsan CAP
Nelayan menunjukkan sisa buangan dalam parit berhampiran kilang memproses udang dan sotong di Batu 12/2, Jalan Pantai Kuala Kurau, Perak. - Foto ihsan CAP

CAP gesa siasat pencemaran kilang proses udang, sotong

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak segera menyiasat masalah pencemaran sisa buangan dari kilang memproses udang dan sotong di Batu 12/2, Jalan Pantai Kuala Kurau, Perak.

Masalah yang didakwa berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu itu menimbulkan kebimbangan kepada lebih 100 nelayan pantai di kawasan berkenaan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata nelayan mendakwa pengusaha kilang membuang sisa ke laut menerusi saluran paip dan parit berdekatan.

Selain mencemarkan laut, bahan buangan itu juga menyebabkan pencemaran bau busuk serta menjejaskan pembiakan ikan, udang, ketam dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan dan penduduk tempatan.

"Nelayan mendakwa, selain sumber pendapatan berkurangan hampir 50 peratus setiap kali kawasan tangkapan dilanda pencemaran, mereka turut mengalami kerugian besar kerana sisa buangan dari kilang berkenaan melekat pada jaring sehingga tidak boleh digunakan lagi.

"CAP kesal dengan kejadian ini walaupun sudah lama berlaku dan dihadapi oleh nelayan namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohideen, CAP percaya jika masalah itu dibiar berterusan, ia boleh mengancam alam sekitar serta menjejaskan kehidupan nelayan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

Katanya, CAP berharap siasatan segera dilakukan JAS dan tindakan tegas perlu diambil jika pengusaha kilang terbabit didapati bersalah melanggar peraturan yang termaktub mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pemantauan berterusan perlu dilakukan JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pengurusan kilang tidak sewenang-wenangnya membuang sisa buangan serta tidak mengulangi masalah itu.

"Jabatan Perikanan juga perlu campur tangan dalam masalah ini supaya nasib nelayan terbela dan pampasan yang setimpal wajar diberi kepada mereka yang mengalami kerugian akibat pencemaran itu," katanya.

Berita Harian X