Khamis, 20 Januari 2022 | 10:14am

MyCC pantau pelaksanaan RFID

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan (MyCC) akan memantau perkembangan pelaksanaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch 'n Go (TNG) secara konsisten selaras peranannya memperjuang dan mempromosi persaingan bagi kepentingan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, berkata pihaknya mengadakan perjumpaan dengan PLUS dan TNG pada Isnin lalu bagi mendapatkan pemahaman lebih lanjut dan perkembangan terkini berhubung pelaksanaan RFID di sepanjang Lebuhraya PLUS.

"Berikutan terdapatnya peningkatan aduan pengguna mengenai isu berkaitan pelaksanaan RFID di seluruh Lebuhraya PLUS, MyCC turut berkongsi penilaian dan kebimbangannya dalam mesyuarat yang sama termasuk memberikan akses kepada platform pembayaran lain bagi pembayaran tol, bukan saja melalui kad debit atau kad kredit tetapi juga sistem e-wallet yang lain.

"Dengan mengambil kira tanggungjawab khas yang ada pada kedua-dua perusahaan dominan ini dalam pasaran relevan, MyCC akan terus memantau keadaan dari masa ke semasa dan apabila sebarang isu persaingan dikenal pasti, Akta Persaingan 2010 akan dikuatkuasakan.

"Seterusnya, adalah penting untuk diingatkan bahawa pasaran berkaitan inovasi boleh mewujudkan ketidakpastian. Justeru, MyCC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan perubahan ini sentiasa memberi manfaat terbaik kepada semua pengguna," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, segelintir pengguna jalan raya mengutarakan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di lorong tol, dipercayai berikutan kegagalan sistem RFID bermula 15 Januari lalu.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pengguna jalan raya yang gagal melakukan pembayaran menerusi RFID terpaksa mengambil keputusan beralih ke lorong TNG, namun mendapati baki dalam kad tidak mencukupi.

Hal itu kerana pertukaran penggunaan sistem bayaran daripada RFID kepada kad TNG menyebabkan pengguna lebuh raya akan dikenakan caj maksimum.

Iskandar berkata, MYCC mengambil maklum mengenai rancangan untuk memastikan peralihan lancar kepada RFID bagi pengguna lebuh raya dan kerjasama antara PLUS dan Touch 'n Go dalam sistem kutipan tol.

"Walaupun inovasi seperti pengenalan RFID dalam sistem kutipan tol dialu-alukan, MyCC percaya pelaksanaan sistem itu perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mencapai objektifnya," katanya.

Tinjauan sistem pembayaran tol menggunakan RFID di Plaza Tol Duta. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Tinjauan sistem pembayaran tol menggunakan RFID di Plaza Tol Duta. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X